Sentimental Value: Bapa menciptakan hantu di kepala anaknya - Utusan Malaysia

Sentimental Value: Bapa menciptakan hantu di kepala anaknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mulakan artikel kali ini dengan sebuah kenyataan bahawa semua orang boleh berkahwin. Tapi tidak semua orang patut berkahwin. Semua orang boleh berhasrat ada anak. Tapi tidak semua orang perlu meneruskan hasrat mempunyai anak. Kita boleh meneruskan keinginan untuk berkeluarga hanya sekiranya kita sedar, faham dan sudah selesai dengan diri kita sendiri.

Perkataan ‘selesai’ yang saya tuliskan pula bermaksud pulih atau berusaha sembuh daripada trauma yang sedang menghantui kita. Ketika kita ada anak, kita tidak hanya mewariskan sikap, paras muka tetapi juga trauma walau kita tidak berniat demikian.

Filem Sentimental Value yang meraih sembilan pencalonan untuk Anugerah Akademi Oscar mungkin menjadi salah satu daripada naskhah kesukaan saya. Ketika saya menulis artikel ulasan ini, saya juga mengambil banyak jeda ketika mengenang kembali beberapa adegan dan dialog yang begitu dalam mengena ke tangkai jantung, sebuah perasaan yang boleh kita rasakan hanya selepas menonton filem yang bagus.

Sentimental Value, naskhah yang ditulis dan diarahkan Joachim Trier berbahasa Norway dibuka dengan pemandangan bandar Oslo dengan latar nyanyian Terry Callier, Dancing Girl. Sebuah lagu yang menceritakan tentang seorang gadis suka menari yang dilihat riang sebenarnya menyimpan kesedihan yang dalam, seolah pengenalan kepada karakter utama bernama Nora.

Kita kemudian diperkenalkan dengan rumah berwarna merah, tempat tinggal Nora dan seluruh generasi keluarganya.

Tukang cerita memperkenalkan kepada kita bahawa Nora pernah menulis sebuah esei ketika sekolah ‘andai diriku sebuah objek’, dan dia memilih menjadi rumah. Rumah itu penuh suara dan rupanya yang paling rumah itu benci ialah keheningan, rasa sunyi selepas ayahnya memilih pergi meninggalkan mereka sekeluarga ketika Nora masih kecil.

 

Kita kemudian melihat syot retak-retak pada dinding rumah yang membuat kita faham apa maksud di sebaliknya.

Nora seorang pelakon berbakat, adiknya Agnes, seorang sejarawan. Ketika ibu mereka meninggal dunia, selepas bertahun-tahun barulah ayah mereka, Gustav, pulang. Gustav sudah menjadi seorang pengarah filem terkemuka dunia.

Itulah masanya Gustav berusaha berhadapan dengan masa lalu, bersemuka dengan anak-anak melihat kalau-kalau retak lama yang pernah dibuat boleh dicantum semula. Sudah tentu tidak mudah, tapi sepanjang cerita kita nampak dia berusaha menebus dosa menjadi seorang bapa.

Seiring filem berjalan, kita dibawa memahami kehidupan Nora, Gustav dan Agnes. Gustav dan Nora mempunyai persamaan sangat kuat. Mereka ibarat saling faham, seolah berjalan beriringan sedangkan tidak pernah berjumpa. Rupanya mereka masing-masing mempunyai ikatan trauma.

Gustav ‘menyaksikan’ insiden bunuh diri ibunya, dan Nora dilanda kesepian seumur hidup masih terkenang kali terakhir ditinggalkan bapa. Kita melihat Gustav mencari Nora, anaknya dalam diri Rachel. Nora selamanya terkurung dalam perasaan takut untuk jatuh cinta kepada lelaki kerana berasa bila-bila masa akan ditinggalkan. Kita melihat kesan-kesan trauma yang belum selesai ini berlegar-legar.

Namun, Joachim Trier menawarkan harapan dan jalan keluar daripada perjalanan trauma ini. Menerusi Agnes dan kelembutan hatinya menjadi jambatan antara Nora dan Gustav meyakinkan luka dari masa lalu perlu kita hadapi, bukan selamanya kita harus lari dan bersembunyi.

Kita perlu saling duduk dan dengar. Bukan membesarkan dendam dan membiarkannya liar. Gustav menulis naskhah buat Nora dan tiada sesiapa boleh melakonkan itu kecuali anaknya sendiri.

Nora duduk di posisi yang mendengar, kemudian bersetuju melakonkan naskhah bapanya yang boleh kita anggap sebagai simbol kemaafan walaupun selepas bertahun-tahun melalui kemurungan panjang selepas ayahnya menciptakan hantu di dalam kepalanya. Begitu juga Gustav, menerusi filem yang sangat personal, dia turut berdamai dengan kepergian ibunya yang mati di dalam bilik tanpa sebarang nota atau kucupan selamat tinggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN