Selepas 20 tahun, Inteam kembali terima sentuhan Hijjaz - Utusan Malaysia

Selepas 20 tahun, Inteam kembali terima sentuhan Hijjaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejayaan gemilang menerusi Konsert Nur Kasih di Axiata Arena baru-baru ini, kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, terus mengorak langkah dengan melancarkan album terbaharu berjudul Citra Kasih.

Album yang memuatkan 17 buah lagu itu dilihat sebagai simbol penghargaan kepada peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni mereka sepanjang 25 tahun dalam industri muzik nasyid tempatan.

Lebih menarik, Citra Kasih turut mengubat kerinduan peminat terhadap gabungan mantap antara Inteam dan kumpulan nasyid legenda, Hijjaz, yang kembali bekerjasama selepas hampir dua dekad.

Menurut anggota Inteam, Hisyam, kolaborasi semula bersama Hijjaz memberi makna besar kepada perjalanan seni kumpulan itu.

“Sudah hampir 20 tahun kami tidak mendapat sentuhan daripada Hijjaz. Alhamdulillah, kali ini Abang Isman menyumbangkan lagu Hamparan Kasih manakala Abang Munif pula menghasilkan lagu Citra Kasih, dengan lirik oleh ITO Lara,” katanya.

Menurut Hisyam lagi, kerjasama itu sekali gus memperlihatkan kesinambungan legasi nasyid tanah air yang terus diperkasakan oleh dua kumpulan berpengaruh tersebut.

Selain menampilkan lima lagu baharu, album berkenaan turut menyajikan kelainan menerusi empat lagu solo yang memberi ruang kepada setiap anggota Inteam menyerlahkan kemampuan vokal masing-masing.

Antara lagu solo yang dimuatkan ialah Jendela Hafsah nyanyian Syah, Aku Diuji (Hisyam), DiSisiMu (Hazamin) dan Asmaul Anbiya (Rahim).

Tidak ketinggalan, beberapa kolaborasi istimewa turut dimuatkan termasuk Kias Cinta 2.0 bersama anak-anak Allahyarham Suhaimi Saad, iaitu Hadie El Fardie dan Sallman El Khoyri.

Album tersebut juga menampilkan lagu Kudus Palestin duet bersama Lah Ahmad yang sebelum ini memenangi kategori Vokal Terbaik di Anugerah Carta 114 TV AlHijrah.

Selain itu, dua lagu popular diberi nafas baharu menerusi versi rakaman semula iaitu Alangkah Indah dan Madrasah Ramadan bersama kumpulan Zayne.

Dalam pada jadual padat dengan persembahan dan persiapan konsert, anggota Inteam tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam menyiapkan album tersebut.

“Kami tetap memberi fokus penuh di studio walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti. Alhamdulillah, maklum balas awal daripada peminat sangat positif,” ujar Rahim.

Sementara itu, Syah pula menjelaskan proses rakaman berjalan lancar dan berjaya disiapkan dalam tempoh yang efisien, manakala Hazamin menyifatkan album itu sebagai hadiah istimewa buat peminat.

“Sudah lama kami tidak menghasilkan album penuh. Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan luar biasa, khususnya di Axiata Arena, kami hadiahkan Citra Kasih kepada semua,” katanya.

Diterbitkan oleh Inteam Records Sdn. Bhd., album Citra Kasih kini boleh dinikmati di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music sejak 1 Februari lalu.

Ditubuhkan pada tahun 2000, Inteam kekal relevan sebagai antara pelopor muzik nasyid moden negara, dengan karya yang menyentuh jiwa serta keupayaan menembusi pentas arus perdana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN