KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau bertekad untuk terus bekerja demi menyara keluarga meskipun masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada 25 Januari lalu.
Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 57, berkata, tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjadi kekuatan utama untuk dirinya terus bangkit dan berfikiran positif berdepan ujian kesihatan.
“Saya akan tetap terima tawaran lakonan dan bekerja. Saya ada anak-anak yang masih kecil dan keluarga untuk disara.
“Walaupun diuji, saya kena teruskan juga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Menurutnya, segala yang berlaku dianggap sebagai ketentuan Ilahi dan dia menerima ujian tersebut dengan reda.
“Kalau ada rezeki dan keadaan saya mengizinkan, saya akan kembali bekerja seperti biasa,” ujarnya.
Lebih mesra disapa Pak Su, beliau tetap menunjukkan semangat tinggi walaupun berdepan kekangan dari segi pergerakan serta gangguan memori akibat masalah kesihatan.
Katanya, dia kini dalam fasa pemulihan dan masih mempunyai peluang untuk sembuh sepenuhnya.
“Saya bukan sakit biasa, tetapi melibatkan bahagian otak. Sekarang dalam proses pemulihan. Insya-Allah ada harapan untuk sembuh sepenuhnya,” katanya.
Bagi memastikan tahap kesihatan terus bertambah baik, dia turut melakukan aktiviti berjalan kaki pantas sebagai rutin harian.
“Saya cuba lakukan ‘brisk walk’. Kalau tak mampu lima kilometer, saya buat dua atau tiga kilometer,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul bersyukur kerana tahap kesihatannya menunjukkan perkembangan positif dan dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada 2 Mac ini.
Menurutnya, tempoh pemulihan dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan seperti disarankan doktor.
“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik walaupun belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Tambah Shamsul, kehadirannya ke majlis tersebut merupakan penampilan pertamanya selepas keluar dari hospital selama enam hari.
“Isteri biasanya tidak membenarkan saya keluar, tetapi kali ini saya ditemani dua anak. Saya datang untuk menghargai sumbangan yang diberikan,” katanya.
Shamsul turut memaklumkan keadaan kesihatannya masih memerlukan rehat secukupnya dan hanya mampu menghadiri acara dalam tempoh terhad.
Mengulas lanjut, Shamsul mengakui mengalami sedikit gangguan memori jangka pendek, namun bersyukur ingatan jangka panjangnya masih baik.
“Ada wajah yang saya kenal, tetapi untuk ingat nama perlu ambil masa. Namun, alhamdulillah ingatan lama masih jelas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, dia merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa atas keprihatinan membantu golongan penggiat seni yang berdepan ujian kesihatan.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang hadir melawat dan mendoakan saya,” katanya.
Majlis Iftar Jiwa Prihatin yang dianjurkan Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Yayasan Prihatin bertujuan menghargai serta menyantuni penggiat seni dan pengamal media yang diuji dengan pelbagai cabaran hidup.
Antara penggiat seni yang turut menerima sumbangan ialah Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr. Sam dan Harun Hashim.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran 120 anak yatim dan pelajar tahfiz daripada beberapa institusi termasuk Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah serta Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan.










