Saya pegang amanah ibu untuk jaga bapa tiri - Roslan Shah - Utusan Malaysia

Saya pegang amanah ibu untuk jaga bapa tiri – Roslan Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik kesibukan jadual seni yang padat, pelakon, penyanyi dan pengacara versatil, Roslan Shah tetap menjadikan tanggungjawab terhadap keluarga sebagai keutamaan dalam hidupnya.

Roslan atau mesra disapa Cik Lan berkata, kejayaan dalam bidang seni tidak membawa sebarang makna sekiranya amanah menjaga insan tersayang, khususnya bapa tirinya, Muhammad Norani Muhammad Esa, 72, diabaikan.

Menurutnya, rutin harian dimulakan dan diakhiri dengan menguruskan keperluan bapa tirinya yang kini memerlukan perhatian sepenuh masa, termasuk memandikan, menyediakan makanan, memberi ubat-ubatan serta menyuntik insulin dua kali sehari.

“Walaupun sibuk dengan kerja seni, tanggungjawab menjaga bapak tetap nombor satu. Setiap hari saya uruskan mandi, makan ubat dan cucuk insulin. Itu memang rutin saya,” katanya ketika ditemui.

Tambah Cik Lan, sekiranya dia terpaksa berada di luar kawasan atau mempunyai urusan kerja di Kuala Lumpur, tanggungjawab tersebut akan dipikul oleh abang serta adik-beradiknya yang lain.

“Kalau saya ada urusan kerja di KL atau luar kawasan, abang dan adik-beradik akan tolong jaga. Yang penting, saya pegang amanah arwah ibu supaya jaga bapak. Itu pesan terakhir arwah pada saya,” ujarnya.

Cik Lan turut mengakui tidak pernah terlintas untuk menghantar bapa tirinya ke pusat jagaan warga emas kerana sudah terbiasa dan selesa menguruskan orang tua sendiri.

“Sebelum ini saya jaga arwah mak, sekarang jaga bapak pula. Saya anggap ini saham akhirat. Sejujurnya saya gembira jaga orang tua dan memang tidak sampai hati untuk menghantarnya ke rumah jagaan,” katanya.

Terdahulu, perkongsian video Cik Lan menguruskan bapa tirinya di media sosial mencuri perhatian warganet dan menerima pelbagai reaksi positif.

Di ruangan komen, ramai memuji kemuliaan hati beliau yang tetap mengutamakan tanggungjawab keluarga meskipun sibuk dengan kerjaya seni.

Dalam perkembangan kerjaya, Cik Lan berkata, jadual seninya semakin padat menjelang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Roslan bakal merakam dua buah lagu raya baharu sebelum Ramadan, iaitu Sassuey Raya (Jangan Bikin Malu) terbitan Impact Music Malaysia dengan edaran Universal Music Malaysia, serta Terlepas Bas Raya hasil ciptaan Akie TheFlow.

Selain itu, Cik Lan turut selesai menjalani rakaman program televisyen Suria Sinar Lebaran 2026 atas jemputan stesen Mediacorp Singapura yang akan disiarkan pada malam Aidilfitri.

Jadualnya turut dipenuhi undangan persembahan, majlis berbuka puasa serta pembukaan gerai perniagaan di beberapa lokasi termasuk Bazaar Geylang, Admiralty dan Expo sepanjang musim perayaan.

Bagaimanapun, akibat kekangan masa, beliau terpaksa menolak beberapa tawaran termasuk penyertaan dalam program MeleTOP Raya 2026 di Astro.

“Memang teringin nak buat semua, tetapi jadual terlalu padat. Ada yang terpaksa saya tolak. Apa pun, saya bersyukur kerana rezeki sentiasa ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Cik Lan juga baru selesai menjalani penggambaran sitkom komedi Warong Kopi Melekek yang bakal ditayangkan di TV1 menerusi penampilan istimewa satu episod.

Roslan turut menerima pelbagai tawaran persembahan nyanyian, pengacaraan majlis makan malam dan acara korporat dengan jadual tempahan penganjur sehingga Disember 2026.

Program YouTube kendaliannya, Night Walk, yang menjalani penggambaran di MBK Film Studio pula terus bersiaran setiap Isnin jam 11.59 malam dengan penampilan artis jemputan terkenal.

Bagaimanapun, sepanjang Ramadan nanti, Cik Lan merancang untuk mengurangkan aktiviti seni dan berehat seketika.

“Bulan puasa saya akan perlahankan sedikit aktiviti dan berehat sebulan. Namun, walau sesibuk mana pun, urusan menjaga bapak tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN