Saya macam pemburu ajaran sesat - Erma Fatima - Utusan Malaysia

Saya macam pemburu ajaran sesat – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAHUN lalu, drama terbitan penerbit dan penulis skrip, Erma Fatima, Bidaah tidak hanya menggoncang negara malah turut menjadi fenomena di negara seberang. Impaknya bukan calang-calang, ada pelajar wanita yang berani tampil membuat laporan mengenai salah laku di sekolah agama selepas menonton siri tersebut. Malah, berebut penerbit filem dari negara itu mahu mengangkat siri tersebut menjadi filem. 

Bagaimanapun, Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57 tidak putih mata. Dia kembali menyahut cabaran menghasilkan siri musim kedua Bidaah yang berjudul Walid, menceritakan kesesatan yang berlaku atas nama agama yang ditayangkan di platform Viu bermula Ramadan ini. 

Erma mengakui kejayaan Bidaah di Indonesia sebagai sesuatu yang manis namun gementar juga kerana harus mengekalkam momentum yang sama untuk siri Walid. 

Oleh itu, Erma mengambil pendekatan mengumpul sebanyak mungkin maklumat tentang ajaran sesat dan aktiviti khurafat untuk diolah, dikitik dan dipersembahkan kepada penonton. 

“Saya ambil daripada kejadian yang terjadi dalam dan luar Malaysia. Siri Walid ada tunjukkan ritual depan makan. Mungkin orang ingat luar negara sahaja buat begitu, tapi sebenarnya di Malaysia pun ada.

“Saya sebenarnya sudah jadi macam Ajaran Sesat Seeker (Pencari Ajaran Sesat). Banyak info tentang kesesatan yang berlaku dalam Malaysia saya dapat menerusi DM daripada beberapa individu. Cerita itulah yang saya masukkan dalam Walid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Erma sedar bahawa karya-karyanya sering mengundang polemik, terutamanya apabila menyentuh sensitiviti agama. Beliau pernah dikritik mengenai cara pelakon mengenakan serban dalam siri Bidaah yang didakwa menyindir golongan tertentu dan babak-babak yang dianggap keterlaluan.

Namun, bagi Erma, beliau mempunyai hujah yang kukuh. Baginya, tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai hak cipta ke atas cara ikatan serban sehingga beliau tidak boleh menggunakannya dalam drama.

“Saya tidak berniat untuk memerli mana-mana pihak atau para habaib. Saya sangat menghormati ulama yang benar. Apa yang saya paparkan bukan buruknya Islam, tapi buruknya manusia yang menunggang agama,” katanya.

Erma juga berkata, dia mahu masyarakat berhenti terlalu naif mudah mempercayai individu yang menjanjikan syurga tetapi sebenarnya merosakkan akidah. Inilah dakwah berseni yang cuba dibawanya menerusi Walid.

“Kalau apa yang saya sampaikan disalah tafsir oleh penonton, saya tak mampu nak tutup mulut orang. Saya tak mampu untuk membuka minda mereka berfikir apa mesej yang saya bawakan.

“Cuma saya ini orang Islam, tak akanlah saya nak menjatuhkan agama saya sendiri. Saya nak menunjukkan supaya tidak ada orang-orang di luar sana yang bodoh untuk mudah percaya. Ramai sangat yang terlalu mudah untuk percaya kepada mereka yang menjanjikan syurga. 

“Jadi kita tidak mahu mereka menjadi penunggang agama dan merosakkan akidah orang-orang Islam kita. Itu yang saya cuba nak sampaikan,” katanya.

Selain itu, Erma juga mengakui sengaja lari daripada temaklise drama Melayu yang sering berlegar tentang isu penyondol dan kecurangan rumah tangga. Erma mahu menjadi pemula trend yang membawa isu-isu sosial yang lebih berat dan bermakna.

“Menjadi satu tanggungjawab kepada saya untuk menyampaikan sesuatu dan lari daripada cerita klise penyondol. Balik-balik cerita curang. Walaupun ya betul, isu penyondol menjadi kesukaan penonton, tapi untuk saya, saya harus membuat sesuatu yang lain daripada yang lain. 

“Menjadi pemula trend, saya mulakan yang lain ikut,” katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan aktor, Fattah Amin dalam sekuel kali, Erma menjelaskan, ketiadaan Fattah adalah disebabkan masalah jadual kerjanya yang bertindih dengan perkara lain yang tidak dapat dielakkan.

“Sepatutnya memang ada watak dia sebagai kesinambungan. Namun bila dia tidak lapang, kita terpaksa hapuskan watak itu. 

“Lagipun, Fattah dalam cerita ini membawa watak kebaikan, jadi ketiadaannya tidak mengganggu naratif kesesatan yang ingin kita tonjolkan,” kata Erma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN