KUALA LUMPUR: Aktres popular, Anna Jobling, menafikan dakwaan kononnya dia bercuti berdua bersama kekasih hati yang juga selebriti Indonesia di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Anna berkata, percutiannya ke kota metropolitan itu adalah bersama beberapa individu termasuk ahli keluarga dan kenalan terdekat.
“Saya bercuti dengan ramai orang dan pada masa sama ada keluarga serta kawan-kawan juga. Bukan saya pergi bercuti dengan dia sahaja, tetapi ada ramai bersama saya.
“Bila sudah penat bekerja, saya fikir perlu ambil masa untuk berehat seketika dan menikmati masa itu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran eksklusif Tomei Raya bersama Anna Jobling di ibu pejabat Tomei di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.
Menurut Anna, percutian berkenaan tetap menjadi urusan peribadi meskipun ada perkongsian dibuat di media sosial.
Aktres berdarah kacukan Melayu, Inggeris dan Portugis itu turut berharap orang ramai serta peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Saya ada berkongsi mengenai percutian itu dan ia bukan lagi rahsia. Namun, ia tetap privasi. Kalau ada sesuatu yang mahu dikongsikan, saya akan kongsi sendiri.
“Saya minta doakan yang terbaik buat saya. Saya juga berhak untuk berasa gembira, selagi saya menjaga diri dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Anna mengakui tidak terlepas menerima komen kurang menyenangkan, namun menganggap perkara berkenaan sebagai lumrah kehidupan sebagai selebriti.
“Semua komen yang diberikan kebanyakannya baik dan manis. Memang ada yang tidak bersetuju, tetapi saya tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri.
“Yang penting, orang sekeliling memberi sokongan dan apa yang saya lakukan itu membuatkan saya gembira,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan mengaitkan Anna dengan hubungan istimewa bersama seorang selebriti Indonesia susulan percutiannya ke LA.
Dalam perkembangan lain, Anna sekali lagi dilantik sebagai duta jenama pengeluar barangan kemas, Tomei.
Bagi kempen Hari Raya 2026 bertemakan Pulang, The Joy I Carry Home, Anna tampil mempersona dalam empat gaya berbeza yang melambangkan pelbagai suasana Aidilfitri menerusi koleksi terbaharu Sri Puteri, Diamond Cut, Anastasia dan Tomei Diamond Collection.










