Petaling Jaya: Ahli politik dan penyampai radio, Khairy Jamaluddin, dipilih sebagai duta kempen Ramadan bagi restoran Dancing Fish.
Restoran masakan Melayu-Indonesia yang tersenarai dalam Michelin Guide Kuala Lumpur itu dilihat tepat memilih Khairy, selari dengan konsep Ramadan yang diketengahkan tahun ini yang menawarkan pengalaman berbuka puasa dalam suasana terbuka dan eksklusif.
Menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu inisiatif positif, Khairy berkata Dancing Fish sememangnya dikenali dengan kualiti, konsistensi serta nilai budaya yang kukuh, sekali gus membina kredibiliti tinggi dalam kalangan pelanggan.
“Dancing Fish membina reputasi mereka dengan menjaga standard dan kualiti. Itu sesuatu yang penting untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan, termasuk dalam pengalaman bufet seperti ini,” katanya.
Selain Khairy, pelakon Tya Ariffin turut diumumkan sebagai wajah kempen berkenaan.
Berkongsi mengenai pemilihannya, Tya berkata konsep berbuka puasa yang diketengahkan memberi kelainan dan bertepatan dengan keinginannya untuk meraikan Ramadan dalam suasana yang mengutamakan ikatan kekeluargaan.
“Waktu berbuka adalah saat untuk berkumpul dan berkongsi. Suasana di Skydeck ini menjadikan pengalaman itu lebih bermakna, tenang dan berbeza daripada kebiasaan,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik Dancing Fish, Joshua Teoh, berkata pemilihan Khairy dan Tya menepati konsep Santapan Di Bawah Langit yang menampilkan pengalaman bufet Ramadan dalam suasana lebih eksklusif, selesa dan tersusun tanpa menjejaskan kualiti hidangan.
“Kami mahu tetamu menikmati pengalaman berbuka yang santai dan tidak tergesa-gesa di Skydeck, dalam suasana terbuka yang lebih istimewa,” katanya.
Sementara itu buffet Santapan Di Bawah Langit berlangsung dari 19 Februari hingga 19 Mac 2026 depan, dengan harga RM188 seorang.










