Rengkuh: Band rock puisi membawa pulang ke pelukan - Utusan Malaysia

Rengkuh: Band rock puisi membawa pulang ke pelukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KAMI ambil segala keresahan dan persoalan yang timbul, membawa dekat dengan pendengar dan pulangkan kembali menerusi muzik dan kata.”

Demikian kata penyajak, Mosyuki Borhan, ketika memperkenalkan Rengkuh, sebuah band rock-puisi yang perlahan-lahan menyita perhatian. Dianggotai lima sekawan, Aus, Sahaq Ibrahim, Mosyuki Borhan, Erry James dan ⁠Ruviyamin, Rengkuh melalui jalan lain daripada lambakan band arus perdana dengan menggabungkan sentuhan muzik rock dan dinamika puisi tentang hidup ke dalam persembahan mereka.

Seperti namanya Rengkuh yang bermaksud perbuatan mendekatkan kepada diri sendiri, kumpulan ini beranggapan lagu-lagu mereka seperti Deru, Rengkuh, Lamun dan Sari sebagai kawan yang memeluk keresahan pendengar mereka masing-masing. 

“Lirik Rengkuh berkait dengan falsafah contohnya ayat seperti ‘Mimpi adalah doa yang tak selalu perlukan kata’, maksudnya dalam hidup ada hal yang sukar disampaikan. Kami percaya semua orang mengalami situasi itu dan Rengkuh cuba membawa penonton dekat dengan rasa itu.

“Logo band kami pun ada perlambangan pelukan. Kami mahu penonton yang dengar lagu-lagu Rengkuh merasai muzik-muzik kami sebagai sebuah tempat selamat untuk mereka tanpa perlu fikir terlalu dalam apa genre yang kami bawa, bagaimana nak tafsir. 

“Cukuplah sekadar datang, dengar dan merasainya. Sama seperti tagline band kami ‘Bilakah kali terakhir kau benar-benar pulang pada pelukan?”  katanya kepada Pancaindera. 

Bercerita lanjut mengenai proses penciptaan muzik Rengkuh sejak 2023, penggubah lagu dan gitaris, Sahaq Ibrahim percaya muzik rock boleh tampil dengan bermacam bentuk dan gaya termasuk menerusi puisi.

“Saya percaya muzik yang saya gubah untuk Rengkuh adalah sesuatu yang dipanggil ‘poetry rock’, sebab rock boleh jadi apa saja.

“Dua lagu pertama yang dicipta iaitu Rengkuh dan Sari melalui banyak fasa apa lagi ketika itu kami pun baru nak kenal dan faham selera masing-masing sesama ahli band. 

“Cuma semasa buat susunan muzik semula, tiba-tiba terfikir lagu ini akan jadi lebih lengkap dan merdu jika ada suara perempuan. Jadi, dari situ Rengkuh mula ambil Erry James sebagai ahli. Asalnya cuba saja-saja, tak sangka memang hasilnya jauh lebih baik,” katanya.

Percaya kepada produk yang dihasilkan dengan kritik sosial, harapan dan pujukan bertahan dalam hidup yang penuh rasa kecewa. Rengkuh yakin, tidak ada mana-mana kumpulan yang boleh menyerupai kerencaman muzik dan mesej-mesej mereka.

“Kami tidak mahu menjadi satu lagi band yang lebih kurang sama. Saya tidak fikir ada band lain yang mempunyai elemen puisi dengan muzik yang seperti Rengkuh.

“Sepanjang proses menjadi Rengkuh, kami tidak mencari, hanya fikir mahu buat sahaja. Kita tidak ingin menjadi klon kepada mana-mana band,” kata ⁠Ruviyamin.

Sejak hujung tahun lalu, Rengkuh mula diundang mengisi senarai persembahan baik di sekitar Kuala Lumpur dan negeri Utara. Kini, band kecil itu mengorak langkah besar apabila bakal mengadakan showcase ‘Pertemuan Pertama’ secara rasmi 13 Februari ini di Bijou, Ara Damansara. 

“Kami lebih gembira buat persembahan secara langsung berbanding rakaman. Sebagai pemuzik, berada dekat dengan penonton adalah lebih bermakna kerana kita boleh serap tenaga daripada mereka yang hadir bersama-sama hari itu.

“Persembahan yang kami sampaikan adalah sebuah pengalaman dua hala. Semoga orang yang hadir menonton kami tidak akan mudah lupa selepas mereka pulang ke rumah masing-masing. 

“Melalui Rengkuh, kami gabungkan elemen muzik, puisi, seni teater, tarian. Semoga kehadiran Rengkuh diterima ramai,” kata Mosyuki mengakhiri temu ramah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN