KUALA LUMPUR: Pelakon, Redza Rosli menyifatkan kehidupannya lebih bermakna sejak menyambut kelahiran cahaya mata sulung sekali gus membuka lembaran baharu sebagai seorang bapa.
Redza berkata, meskipun masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu, fasa kehidupan yang dilaluinya ketika ini dianggap sebagai satu anugerah yang amat bernilai.
“Kadang-kadang saya sendiri masih sukar mempercayai apa yang berlaku dalam hidup. Namun, apa pun ini adalah perjalanan yang akan dilalui oleh setiap insan.
“Kita semua akan melalui fasa usia tua dan akhirnya pergi juga. Jadi apabila Allah memberi peluang untuk merasai perjalanan ini, saya menganggap ia sangat indah,” katanya.
Menurut Redza, rezeki yang dikurniakan Allah bukan hanya tertumpu kepada kehadiran zuriat semata-mata, sebaliknya merangkumi kesihatan, pekerjaan, kerjaya serta pelbagai nikmat lain.
Redza berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan kandungan Ramadan terbitan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Redza menyifatkan kehadiran putera sulungnya itu bukan sahaja satu kurniaan, malah hadir bersama amanah besar yang perlu digalas sebagai seorang bapa dan anak lelaki.
“Orang kata pengalaman sebagai bapa ini masih baharu, namun hakikatnya tanggungjawab seorang bapa sangat besar. Ia bukan hanya terhadap anak, tetapi juga kepada ibu bapa yang masih ada.
“Sebagai anak lelaki, amanah itu melibatkan keluarga, isteri dan anak. Apa pun yang berlaku, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk sentiasa ada dan bijak membahagikan masa antara kerja serta keluarga,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Redza memaklumkan isterinya kini menjalani tempoh berpantang di bawah penjagaan keluarga mentuanya memandangkan jadual penggambarannya yang padat.
Menjawab persoalan mengenai pengumuman kelahiran yang dibuat agak lewat, Redza berkata keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama isterinya sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami sepakat untuk tidak tergesa-gesa berkongsi berita. Pada masa kini, banyak perkara tidak dijangka berlaku. Ada kes bayi tidak sempat melihat dunia dan ada juga yang pergi ketika masih dalam kandungan. Jadi kami memilih untuk lebih berhati-hati,” jelasnya.
Pada 13 Januari lalu, isteri Redza, pelakon Bella Hanna selamat melahirkan cahaya mata lelaki sulung mereka yang diberi nama Muhammad Aydrean Raess. Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024.










