Di mata rama, pelakon wanita ini seolah-olah memiliki segalanya. Cantik, berkelas, dan sentiasa tampak terjaga walau usia bukan lagi di fasa muda remaja.
Setiap kemunculannya sering disambut pujian, seakan hidupnya berjalan lurus tanpa cela. Itu yang Cik Bunga lihatlah. Namun hakikatnya, ada satu episod hitam yang dipilih untuk disimpan kemas. Bukan kerana takut dipandang lemah, tetapi kerana tidak mahu mengundang perkara yang lebih buruk.
Menurut cerita yang sampai ke pengetahuan Cik Bunga, artis ini pernah terkena sihir. Apa yang lebih menggetarkan, perbuatan itu dikatakan dilakukan oleh seorang individu yang dikenalinya sendiri. Ya, seseorang yang pernah rapat, pernah ada akses dalam hidupnya, dan tahu selok-belok rutin hariannya.
Namun sehingga hari ini, artis tersebut tidak pernah membuka mulut kepada umum. Bukan sebab tiada bukti, bukan juga kerana mahu melindungi sesiapa. Sebaliknya, dia terlalu berhati-hati.
Difahamkan, artis ini bimbang jika perkara itu didedahkan, individu terbabit akan bertindak lebih jauh, kononnya boleh ‘menambah’ lagi sihir tersebut, didorong oleh iri hati dan rasa dengki yang masih bersarang.
Yang mendedahkan kisah ini pula bukan orang luar. Cerita ini datang daripada kawan baiknya sendiri, individu yang melihat perubahan demi perubahan berlaku pada diri artis berkenaan.
“Dia jenis simpan saja. Tak suka kecoh, tak suka burukkan sesiapa,” ujar kawan baik artis itu. Malah, artis ini dikatakan lebih memilih untuk memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, dan mendapatkan rawatan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan umum.
Apa yang membuatkan ramai kagum termasuk Cik Bunga, meskipun pernah melalui fasa gelap itu, artis ini masih mampu mengukir senyuman. Apa pun, Cik Bunga hanya mampu mendoakan yang terbaik.
Semoga artis wanita ini terus dilindungi daripada niat jahat manusia, dijauhkan daripada hati-hati yang hitam, dan kekal bersinar seperti biasa. Kerana dalam dunia hiburan yang penuh dengki dan persaingan, yang diam bukan bermakna kalah. Kadang-kadang, diam itu cara paling selamat untuk meneruskan hidup.









