Neelofa jadi inspirasi, Nora Danish luah hasrat mahu bersara - Utusan Malaysia

Neelofa jadi inspirasi, Nora Danish luah hasrat mahu bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Nora Danish, meluahkan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bidang seni lakon selepas sekian lama bergelar anak seni, dengan faktor usia dan keletihan menjadi antara pertimbangan utama.

Menurut Nora atau nama penuhnya Nora Mohd. Danish Hanif, 43, perancangan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya akan dipertimbangkan selepas beliau membina keluarga baharu kelak.

“Saya dalam proses nak bersara kalau boleh sebab rasa dah berusia. Tapi sekarang belum masanya lagi kerana saya masih perlu bekerja untuk menyara anak-anak. Insya-Allah apabila sudah berkeluarga nanti, barulah saya fikirkan perkara itu,” katanya.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pertunjukan Fesyen Amber Eid’s Times For Love di sini, kelmarin.

Nora turut mengakui menjadikan Neelofa sebagai sumber inspirasi selepas selebriti berkenaan memilih untuk bersara daripada lakonan dan aktif menyampaikan dakwah menerusi media sosial.

“Walaupun Neelofa sudah tidak berlakon, dia masih aktif menyampaikan perkara baik. Saya mahu jadi seperti itu. Mungkin fokus saya lebih kepada perniagaan. Untuk berlakon, saya rasa penat,” katanya yang pernah membintangi filem Polis Evo 3.

Mengulas lanjut, Nora menegaskan keputusan untuk bersara tidak didorong oleh faktor perkahwinan semata-mata, sebaliknya kerana keletihan setelah terlalu lama berada dalam industri hiburan.

“Semua wanita mahu berkahwin dan ada rumah tangga yang baik, itu memang impian saya. Tapi saya tidak tergesa-gesa. Saya serahkan sepenuhnya kepada Allah untuk menentukan segalanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nora turut berkongsi mengenai hubungannya dengan seorang duda anak tiga, Mickey Ayo, dengan menegaskan mereka memilih untuk tidak terburu-buru ke arah perkahwinan.

“Kami masih dalam fasa mengenali hati budi. Masing-masing pernah melalui kegagalan rumah tangga, jadi terlalu awal untuk berbincang soal perkahwinan,” jelasnya.

Sebelum ini, nama Nora menjadi bualan selepas memuat naik foto seorang lelaki berkopiah putih di media sosial, selain tular sekeping kad jemputan tertera huruf M dan N serta tarikh 8 September 2025 yang mencetuskan spekulasi kononnya beliau bakal menamatkan zaman janda.

Bagaimanapun, Nora menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada sebarang perancangan perkahwinan seperti yang diperkatakan.

Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum berpisah pada 19 Jun 2024 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 2006 dan bercerai dua tahun kemudian, dengan perkahwinan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 17.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN