Penyanyi bersuara emas, Misha Omar sekali lagi membuktikan kelasnya tersendiri apabila muzik video terbaharu berjudul IDLYA berjaya mencuri perhatian ramai. Cik Bunga akui, sebaik sahaja menonton MV berkenaan, terus terasa aura luar biasa yang jarang-jarang dapat kita lihat dalam produksi tempatan. Dari babak pertama lagi sudah dapat rasa kelainan yang cuba dibawakan, cukup sinematik dan sarat emosi.
Khabarnya muzik video ini menjalani penggambaran di China dan tidak hairanlah setiap visual yang dipaparkan tampak begitu gah dan bertaraf antarabangsa. Pemandangan yang luas terbentang, sudut kamera yang dramatik serta permainan warna yang cukup estetik menjadikan keseluruhan karya ini kelihatan mahal.
Cik Bunga sendiri sampai ulang tayang beberapa kali semata-mata mahu menikmati setiap perincian yang mungkin terlepas pandang.
Apa yang lebih mengagumkan, jelas sekali Misha sanggup berhabis demi memastikan hasilnya benar-benar berkualiti. Dalam keadaan industri yang penuh cabaran, komitmen sebegini memang wajar dipuji. Ramai peminat di media sosial turut meluahkan rasa bangga dan teruja.

Ada yang menyatakan, inilah standard yang mereka mahukan, karya yang ada kualiti dan tidak segan untuk dicanang kepada umum. Apabila hasilnya sebegini, memang rasa yakin untuk berkongsi dengan dunia.
Tidak kurang juga yang berseloroh mengatakan Misha langsung tidak memalukan anak Kelantan dengan penghasilan muzik video sehebat ini. Usikan manja itu jelas menggambarkan betapa bangganya peminat melihat anak seni dari negeri Pantai Timur mampu tampil dengan produksi berkelas antarabangsa. Malah ada yang menyifatkan MV ini seperti sebuah filem pendek yang lengkap dengan jalan cerita menyentuh jiwa.
Bagi Cik Bunga, ‘IDLYA’ bukan sekadar lagu yang kuat darpada segi vokal, tetapi diperkukuhkan lagi dengan visual yang benar-benar mendukung emosi lagu tersebut. Setiap ekspresi, setiap langkah dan setiap latar lokasi seolah-olah dirancang begitu teliti.
Jika ini penanda aras baharu untuk karya muzik tempatan, Cik Bunga percaya industri kita sedang melangkah ke tahap yang lebih membanggakan. Syabas buat Misha Omar dan seluruh pasukan produksi yang menjayakan MV ini. Memang tidak puas tonton sekali!










