Penyanyi popular menerusi lagu ‘Kerana Terluka’, Nourul, mengumumkan tarikh konsert sulungnya yang sepatutnya berlangsung pada 17 April kini dijadualkan semula ke 30 Mei 2026.
Keputusan penukaran tarikh konsert ‘For You Nourul’ itu dibuat bagi memastikan kualiti terbaik dapat diberikan kepada peminat sepanjang lebih tiga dekad penglibatannya dalam industri muzik.
Menurut pihak penganjur, ND Entertainment, penjadualan semula itu juga dibuat bagi menghormati sambutan dua perayaan penting iaitu Aidilfitri serta Aidiladha.
“Selain itu, kami percaya pemilihan tarikh 30 Mei sangat sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan.
“Kami mahu For You Nourul menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat dalam suasana yang lebih selesa dan meriah,” jelas wakil penganjur.
Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Binti Ab. Wahab, 49, menjelaskan penukaran tersebut turut dipengaruhi oleh faktor pertukaran penganjur lama kepada syarikat miliknya sendiri.
Meskipun terdapat perubahan tarikh, peminat masih boleh mendapatkan tiket mengikut kategori harga yang telah ditetapkan bermula daripada RM198 sehingga RM6,000.
Konsert ‘For You Nourul’ bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada jam 8.00 malam dan tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang ticket2u.com.my.










