KENYATAAN Danial Mirza Azizan atau DMA Islam mengenai pendiriannya yang tidak menghormati artis dan berpandangan golongan itu tidak bernilai di sisi masyarakat meninggalkan pelbagai tanda tanya.
Ada juga yang beranggapan kenyataan itu sebenarnya satu serangan yang ‘berjambatankan’ kebencian yang bersifat peribadi.
Ini kerana, jika diperhatikan, kenyataan yang dibuat pencipta kandungan tersebut jelas bersifat berat sebelah dan seperti bertujuan untuk menunjukkan penggiat seni ini seolah-olah tiada fungsi kepada masyarakat.
Dalam ramai penggiat seni tampil menempelak DMA Islam, ramai juga enggan melayan provokasi individu berkenaan kerana enggan membuka lebih luas pintu perbalahan tidak berkesudahan sekiranya DMA Islam diberi perhatian.
Pelakon, Zahiril Adzim, 42, berpendapat DMA Islam mempunyai agenda tersendiri apabila menyerang dan memburuk-burukkan bukan sahaja golongan artis dan pempengaruh, tetapi juga penggiat seni secara amnya.
“Kita tahu yang individu itu adalah pencipta kandungan media sosial yang memerlukan perhatian di media sosial untuk kelangsungan hidup.
“Semakin dia memburukkan penggiat seni, semakin dia kelihatan tidak rasional,” kata Zahiril ketika ditemui pada sidang media dan tayangan filem terbaharunya, Amira Amir baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zahiril mengakui yang dia tidak pernah mengambil pusing apatah lagi terpanggil untuk melayan sebarang provokasi yang dilayangkan individu berkenaan.

“Saya tidak terkesan dengan apa yang diperkatakan individu itu dan saya berpendapat penggiat seni yang lain pun tidak sepatutnya memberi perhatian kepada dia. Kenyataannya tidak sedikit pun menjejaskan periuk nasi golongan artis.
“Apa pun setiap individu bebas memberi pendapat dan saya hormati perkara itu. Tapi tak perlulah kita memberikan perhatian kepada golongan yang tidak memahami bidang pekerjaan kita kerana tindakan itu hanya sia-sia.
“Dan saya juga sedar ramai yang menyokong kenyataannya. Tak mengapa itu hak mereka. Tinggal kita sahaja, sebagai artis, harus menjaga diri kerana pengaruh kita besar, setaraf orang politik,” katanya.
Dalam masa yang sama, Zahiril juga menasihatkan kepada pelajar jurusan seni persembahan di universiti agar juga tidak terpengaruh dengan kenyataan DMA Islam yang menganggap kursus pengajian seperti teater, muzik dan seni tari sebagai pengajian paling bodoh untuk diambil di universiti.
“Kepada yang mengambil jurusan ini di universiti, teruskan. Jangan hilang motivasi disebabkan pandangan dangkal seperti itu. Tak semestinya kita belajar bidang seni, kita akan jadi pelakon, penyanyi, penari dan sebagainya.
“Skop bidang seni terlalu luas. Ada rakan saya yang kini bergelar pensyarah dan ada juga yang bekerja dalam bidang perbankan, tetapi dengan menggunakan kemahiran seni yang mereka pelajari di universiti,” jelasnya.










