PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha menyifatkan tahun ini merupakan permulaan paling indah buat dirinya sepanjang bergelar anak seni.
Selain drama terbaharunya, Doa Yang Terlindung berjaya mendapat sambutan hangat, Fasha bersyukur rezekinya juga semakin murah apabila ditawarkan untuk menjadi wajah utama beberapa jenama.
“Permulaan 2026 yang sangat-sangat berwarna-warni, drama trending nombor satu (ini terpaling fenomena) MasyaAllah.
“Duta produk penjagaan kulit, berus solekan, Kopi Saigon , Numee Gardenia, Mustajab, She Dazzle
MasyaAllah. Syukur,” katanya.
Menerusi hantaran di Threads, pelakon jelita itu mengakui dirinya tidak lelah mencari rezeki yang sudah diatur Sang Pencipta demi berkongsi hasilnya bersama yang tersayang.
“Penat ke tak? Kenapa perlu mengeluh dengan rezeki yang Allah bagi? Bersusah dahulu bersenang kemudian. Kerja kuat untuk kongsi rezeki ini pada orang lain juga sebab dalam rezeki kita terselit rezeki orang lain,” jelasnya.
Dalam hantaran lain, Fasha menganggap kejayaan yang dikecapinya hari ini juga kerana tuah yang dibawa oleh anak-anaknya, Rayfal Raysha dan Aisha serta restu suaminya, Aidil Aziz.
“Rezeki Allah , seluas lautan. Saya percaya saya sedang menumpang tuah anak-anak saya, Rayfal Raysha dan Aisha. Juga berkat restu dan doa suami. Nyawa-nyawa saya,” ujarnya.










