PETALING JAYA: Pelakon, Yuna Rahim menegaskan tentang pentingnya untuk menjaga hubungan sesama manusia demi meraih keberkatan dalam kehidupan.
Menurut Yuna, kegagalan dalam berbuat baik sesama manusia merupakan salah satu asbab rezeki menjadi sempit meskipun seseorang itu istiqamah menjaga hubungan dengan Sang Pencipta.
“Nak tahu salah satu punca rezeki kau sempit?Kau jaga hubungan dengan Allah tapi sesama manusia kau tak jaga terutamanya hati dan lisan,” katanya di Threads.
Dalam hantaran sama, Yuna berpendapat terdapat sesetengah individu yang tidak menyedari kehidupan mereka akan terus diuji kerana sikap mereka yang suka menjatuhkan orang lain.
“Kau tak gembira dengan kejayaan orang keliling. Kau ejek bentuk badan orang. Ada saja benda yang nak suarakan. Lepas itu kau pelik kenapa tuhan uji kau macam macam? Tepuk dada tanya iman,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah menuai pelbagai respons dari warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan kenyataan spontan pelakon itu.
Namun, ada juga yang berpendapat ada sahaja sesetengah pihak yang suka menjatuhkan orang lain hidupnya senang bahkan lebih bahagia.
“Tapi ada saja orang yang suka hina orang, ejek badan orang, tapi hidup dia senang lenang bahagia saja. Sebab itu dia tidak rasa apa bila hina orang,” komen seorang pemilik akaun.
Menyedari respons sedemikian, pelakon drama Sweet Dreams itu yakin bahawa golongan tersebut juga tidak terlepas dari ujian memandangkan Allah Maha Adil.
“Periksa balik mesti diuji dengan cara lain. Allah itu Maha Adil. Kadang dia diuji tapi dia malu, tak tunjuk dekat orang dia diuji,” tegasnya.









