Jurnal jadi medium curahan hati Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Jurnal jadi medium curahan hati Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya rasa sangat-sangat bahagia apabila ada jurnal. Ia seolah kita berkata-kata pada diri sendiri dan membuatkan saya lebih menyayangi diri sendiri.”

Demikian kata penyanyi, Ernie Zakri yang kian hanyut mencoretkan setiap kisah pahit manis kehidupan dalam helaian buku nota yang hanya dirinya sahaja mengetahui isi kandungannya. 

Kata Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, kehidupannya juga menjadi lebih produktif setiap kali  dirinya meluahkan segala yang terbuku meskipun baru terpanggil untuk meneruskan hobi yang telah lama ditinggalkan itu. 

“Selain jurnal, saya juga suka membaca buku dan mewarna. Aktiviti ini memang saya suka lakukan sejak berusia 10 tahun.  Cuma bila kita dah membesar dan sibuk dengan kehidupan saya sudah lama tinggalkannya.

“Banyak juga buku nota yang saya beli sebelum ini tetapi tidak terpakai. Saya kembali melakukan hobi ini semula selepas menyedari adakalanya kita menjalani kehidupan yang tidak produktif.  

“Adakala saya terlupa akan momen-momen yang saya capai. Jadi, saya rasa saya perlu coretkan momen tersebut dalam buku nota yang saya miliki,” katanya kepada Pancaindera. 

Tambah penyanyi yang berusia 34 tahun itu, jurnal juga menjadi sumber terapi buat dirinya tatkala sibuk melakar nama sebagai seorang penyanyi dalam industri muzik tanah air.

“Keistimewaan jurnal ini membuatkan saya lebih tenang sebab bila bekerja kadang-kadang banyak pemikiran kita yang tidak terluah. 

“Apabila menulis tentang kehidupan kita ataupun tentang keistimewaan diri kita sendiri pun sudah buat kita gembira dan lebih sayang diri saya kembali, selain membuatkan saya tahu yang saya layak untuk segala-gala yang saya ada.

“Saya sentiasa percaya, ada orang mahu ingat sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan sehariannya terutamanya memori yang indah atau yang pahit. Kerana itu jugalah saya memilih untuk menulis agar saya lega dan ia menjadi terapi untuk saya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ernie mengakui jurnal menjadi antara rutin harian yang dinanti-nantikannya untuk dilakukan meskipun sudah seharian penat bekerja. 

“Jurnal bukanlah sesuatu yang saya kumpul tetapi sesuatu yang saya simpan. Saya mempunyai sebuah buku yang saya simpan sekitar lima hingga enam buku nota yang sudah habis saya tulis. 

“Ia menjadi antara aktiviti yang saya tertunggu-tunggu untuk buat. Apabila berada di dalam industri muzik ini kita akan terdedah dengan pelbagai pendapat, tentangan dan sebagainya. 

“Jadi, itu antara salah satu cara untuk saya menyibukkan diri dan cara untuk saya kurangkan tabiat bermain telefon bimbit memandangkan saya sudah mempunyai cahaya mata,” jelasnya.

Meskipun hanya memerlukan sebatang pen dan sebuah buku, penyanyi lagu Aura itu mengakui jurnal juga mempunyai cabarannya yang tersendiri lebih-lebih lagi apabila berkunjung ke kedai alat tulis.

“Sekarang ini saya cuba menahan diri dan mengelak daripada membeli banyak alat tulis. Lebih-lebih lagi ketika pergi ke kedai alat tulis, saya belajar kawal diri untuk membeli buku nota yang sangat banyak.

“Saya akan gunakan segala alat tulis yang saya sudah ada meskipun barang-barang itu dari zaman saya bersekolah dan belajar di universiti.

“Jadi, kepada mereka yang tidak tahu bagaimana untuk membuat jurnal, ketahuilah ia bukanlah sekadar menulis diari harian. Dia ada banyak cara. 

“Buatlah kajian sebelum terjebak dengan hobi seperti ini supaya tidak berlakunya sebarang pembaziran seperti yang pernah saya buat sebelum ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN