Pernah menyaksikan sendiri seorang penghantar makanan terlibat dalam kemalangan jalan raya menjadi antara pengalaman ngeri buat pelakon Ezzaty Abdullah.
Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja menakutkan, malah meninggalkan kesan mendalam apabila melihat kegigihan golongan pekerja ini yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mencari rezeki.
Tambah Ezzaty, peluang membawakan watak sebagai seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam iklan raya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baru-baru ini memberinya ruang untuk menyelami sendiri realiti kehidupan pekerja gig.
“Di mana-mana sahaja kita boleh melihat kehadiran mereka terutamanya di atas jalan raya, dan sebagai pengguna perkhidmatan ini, saya sangat menghargai golongan penghantar makanan.
“Apabila diberi peluang membawakan watak sebagai seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penghantar makanan, saya menganggapnya sebagai satu cabaran besar dan dalam masa yang sama dapat memahami sendiri risiko pekerjaan ini,” katanya.
Ujarnya lagi, harapan terbesarnya adalah agar mesej yang disampaikan melalui iklan berkenaan dapat memberi gambaran sebenar mengenai kepentingan caruman perlindungan sosial demi kebajikan pekerja gig, khususnya wanita yang memilih kerjaya ini.
“Watak ini mempamerkan sisi seorang ibu yang terlalu fokus membantu orang lain sehingga terlupa bahawa dirinya sendiri sebenarnya paling memerlukan bantuan.
“Dalam masyarakat kita, ramai yang merasakan mereka cukup kuat, namun apabila berlaku kecelakaan, caruman inilah yang akan menjadi penyelamat utama buat keluarga, terutamanya anak-anak,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ezzaty yang kini sibuk menguruskan perniagaan tepung membuat kek turut memilih untuk menunggang motosikal sendiri sekitar Kuala Lumpur bagi menjayakan penggambaran iklan tersebut.
“Memang saya bawa motosikal sendiri kerana mahu merasai pengalaman sebenar sebagai seorang penghantar makanan.
“Namun dalam masa yang sama, saya amat berterima kasih atas langkah keselamatan yang disediakan pihak produksi bagi memastikan kelancaran penggambaran,” jelasnya.
Sementara itu, iklan raya Aidilfitri berjudul Janji Ibu yang turut menampilkan gandingan pelakon Syafie Naswip bersama pelakon muda, Umar Shakur dijadualkan menemui penonton pada Mac hadapan.










