Erra Fazira terharu mas kahwin pohon emas jadi inspirasi - Utusan Malaysia

Erra Fazira terharu mas kahwin pohon emas jadi inspirasi

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Primadona tanah air, Erra Fazira mengakui terharu sekiranya pemberian pohon emas yang diterimanya sebagai mas kahwin semasa majlis pernikahannya hujung tahun lalu dijadikan inspirasi oleh pasangan dan bakal pengantin lain.

Menurut Erra, pemilihan emas sebagai mas kahwin bukan bertujuan menunjuk-nunjuk atau mencetuskan trend, sebaliknya lahir daripada kesedaran peribadi tentang nilai dan kepentingan logam berharga itu untuk jangka masa panjang.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur sekiranya keputusan dia dan suaminya, Ezwan Zain tersebut memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Saya sendiri memang sedia maklum tentang kepentingan emas. Jadi apabila ia dijadikan mas kahwin, secara tidak langsung ia membuka mata orang lain.

“Kalau ada yang menjadikannya inspirasi, saya sangat bersyukur dan terharu,” katanya.

Tambah Erra, dia tidak menyangka pemberian simbolik itu mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan perbualan tentang nilai emas, termasuk keinginan orang ramai untuk mula mengira dan memahami pelaburan dalam bentuk dinar.

“Suami saya pernah bertanya berapa hantaran yang saya inginkan, dan ketika itu saya menyatakan bahawa saya tidak mahukan wang atau perkara lain, sebaliknya saya mahukan emas.

“Idea ini sebenarnya tidak dirancang untuk memberi kesedaran kepada sesiapa, ia berlaku secara kebetulan sahaja, namun apabila ia menjadi inspirasi kepada orang lain, saya berasa sangat bersyukur dan gembira,”katanya.

Selain itu, Erra mengakui pelaburan emas kini menjadi antara fokus utama dalam perancangan kewangannya, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.

Kongsi Erra, meskipun masih meminati emas putih untuk pemakaian harian, dia kini lebih cenderung memilih emas kuning kerana nilainya yang lebih kukuh sebagai aset simpanan jangka panjang.

Menurutnya, minat terhadap emas putih itu sudah lama tersemat sejak usia muda, namun situasi semasa telah mengubah cara pemikirannya terhadap kepentingan nilai sesuatu aset.

“Dulu memang saya gemarkan emas putih dan sehingga kini masih memakainya untuk kegunaan harian. Tetapi apabila melihat keadaan ekonomi sekarang dan harga emas yang semakin meningkat, saya lebih memilih emas kuning.

“Walaupun kedua-duanya adalah emas, namun nilai emas kuning lebih signifikan sebagai simpanan. Jadi sekarang ini, kalau ada lebihan wang, saya akan membeli emas,”ujarnya.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan perasmian butik Amelia Jewellery di Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pasrah itu turut menegaskan bahawa emas merupakan antara aset paling kukuh dan stabil untuk dijadikan simpanan demi masa depan.

“Semua orang perlu lebih peka dengan keadaan semasa. Jika kita masih leka dan terlalu selesa, kita mungkin akan ketinggalan. Kita juga tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.

“Saya sendiri mengikuti perkembangan dunia dan ia agak membimbangkan. Sebab itu saya percaya emas adalah aset yang sangat stabil. Wang tunai memang penting, tetapi kita juga perlu mempunyai aset yang lebih kukuh untuk jangka panjang,” jelasnya.

Mengulas kehadirannya ke majlis berkenaan, Erra menjelaskan bahawa dia hadir bukan sebagai duta rasmi, sebaliknya sekadar memberi sokongan kepada jenama tersebut.

Dalam perkembangan lain, Erra turut tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Amelia Jewellery dalam menghasilkan rekaan emasnya sendiri pada masa akan datang.

“Sebenarnya perancangan itu memang ada, cuma prosesnya agak kompleks kerana saya sukakan rekaan yang ringkas, manakala pihak Amelia Jewellery juga mempunyai identiti rekaan tersendiri. Buat masa ini kami masih berbincang.

“Insya-Allah, jika rekaan itu menepati selera saya dan sesuai dengan konsep yang diinginkan, saya tidak keberatan untuk bekerjasama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN