Diet melampau, Alya Iman pitam sampai masuk unit kecemasan - Utusan Malaysia

Diet melampau, Alya Iman pitam sampai masuk unit kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSTAHIL tidak ada yang terasa hati jika bentuk badan dan paras rupa selalu menjadi persoalan. Begitulah yang dirasakan pelakon, Alya Iman apabila ada sahaja mulut jahat yang mempersoalkan badannya yang dikatakan sudah berisi. Malah lebih teruk apabila ada yang selamba berkata depan mukanya bahawa dia sudah gemuk.

Alya atau Nur Alya Iman Azmil, 25, makan hati dengan segala kata-kata itu. Bagaimanapun jauh di sudut hati paling dalam, pelakon Pabila Dia Tersenyum itu juga akur dengan persepsi masyarakat terhadap seorang selebriti, harus kekal langsing, cantik, sedap mata memandang setiap kali muncul di kaca televisyen. 

Oleh itu anak kepada Allahyarham Azmil Mustapha ini melakukan perubahan drastik selama enam bulan. Dalam tempoh itu, Alya tidak kemana-mana, dianggap menyepi tapi rupanya sedang fokus melakukan program menurunkan berat badan.

“Pelakon tetap seorang manusia yang ada perasaan. Bila orang cakap gemuk depan muka tidakkah kita terasa?

“Tapi sebagai pelakon, saya juga faham yang kita kena nampak cantik dan sempurna di hadapan skrin. Tapi saya ambil positif dan ambil semuanya untuk kebaikan saya sendiri termasuklah untuk kerjaya dan kesihatan mental. Enam bulan saya duduk rumah dan lakukan semua itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai proses diet yang diamalkan, Alya mengakui rutin hariannya cukup menyiksa apabila tidak lag menyentuh sebarang minuman dan makanan bergula selain mendaftarkan diri bersenam di gimnasium. Pelakon itu menolak untuk mengambil jalan singkat seperti mengambil ubat kurus atau suntikan tertentu yang mempercepat mendapatkan tubuh langsung.

Perjalanan untuk menurunkan berat badan tidak mudah apabila pelakon itu mendedahkan pernah dikejarkan ke wad kecemasan akibat tekanan gula yang terlalu rendah.

“Saya tak menghakimi sesiapa kalau nak ambil ubat kurus sebab semua itu pilihan masing-masing. Tapi bagi saya, kita kena cuba kaedah yang terbaik untuk diri sendiri, Saya kurangkan pengambilan gula sampai jadi ‘hypo’.

“Baru-baru ini saya pitam dekat set sampai terus masuk unit kecemasan. Kemudian paras gula saya sampai tiga. Jadi, sebenarnya kaedah semula jadi macam saya tanpa ubat atau suntikan pun boleh jadi tidak sihat jika tidak kena dengan cara yang betul.

“Kurangkan gula sudah betul tapi jangan sampai jadi tidak sihat juga seperti tekanan darah rendah,” katanya.

Bagaimanapun gadis kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu juga berbangga apabila berjaya menurunkan berat sebanyak 20 kilogram iaitu daripada 70 kilogram kepada 50 kilogram.

Namun begitu, Alya tetap menegaskan bahawa dia tidak mahu sekadar ‘ikut-ikutan’ standard kecantikan industri. Baginya, bakat tetap menjadi keutamaan berbanding kecantikan luaran.

“Semua rezeki datang daripada Allah. Bila orang kata dia cantik sebab itu boleh jadi pelakon, saya tidak mahu dilabelkan begitu.

“Saya cuma nak jadi diri sendiri. Saya tak adalah nak tergedik-gedik saja itu bukan Alya Iman. Alya Iman memang sangat-sangat kasar. Anda semua tahu macam mana saya, saya sangat terbuka dan sangat kasar, jadi saya tak cuba untuk jadi orang lain.

“Cuma kuruskan adalah cara saya kekalkan kedudukan dalam kerjaya, itu saja,” katanya.

Dengan semnagat dan bentuk tubuh yang baharu, Alya kembali aktif dan bakal membintangi sebuah drama terbaharu Bila Cinta Menjadi Dosa yang bakal ditayangkan Ramadan nanti.

Memegang watak sebagai Yasmin, Alya mengakui penggambaran kali ini agak mencabar kerana dia perlu bekerja di samping pelakon-pelakon senior seperti Zamarul Hisham dan Che Puan Sarimah Ibrahim. 

“Cabaran saya adalah bila ada hero yang lebih senior seperti Abang Zamarul Hisham. Kadang-kadang takut juga kalau kita tak cukup ‘perform’ atau menghampakan mereka,” jelasnya.

Menariknya, Alya mendedahkan dia lebih mudah mencari keserasian dengan pelakon senior berbanding pelakon yang sebaya dengannya.

Bagi Alya, pelakon lama lebih fokus dan sangat membantu di set, menjadikan proses lakonan itu terasa lebih ‘hidup’.

“Keserasian dengan orang lama ini terus ada. Sebenarnya lagi susah bagi saya cari keserasian dengan pelakon sebaya,” kongsinya.

Drama  Bila Cinta Menjadi Dosa arahan Shuhaimi Lua selama 30 episod itu akan mula bersiaran pada 27 Februari di slot Lestary TV3 dan aplikasi tonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN