LOS ANGELES: Britney Spears dilaporkan menjual hak keseluruhan katalog muziknya kepada syarikat penerbitan antarabangsa, Primary Wave, dalam satu urus niaga yang dianggarkan mencecah berbilion ringgit.
Menurut laporan majalah hiburan People, perjanjian tersebut telah dimeterai pada 30 Disember 2025. Menerusi kesepakatan itu, hak cipta lagu-lagu popular milik penyanyi berkenaan termasuk ‘Baby One More Time’, ‘Toxic’ dan ‘Gimme More’ kini secara rasmi berpindah milik kepada syarikat terbabit.
Walaupun jumlah sebenar transaksi tidak diumumkan, majalah Rolling Stone melaporkan nilai perjanjian tersebut dianggarkan sekitar AS$200 juta (kira-kira RM3.1 bilion).
Sehingga kini, Britney Spears masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penjualan katalog muziknya itu.
Langkah tersebut sekali gus menyusul keputusan penyanyi berusia 44 tahun itu yang sebelum ini menyatakan tidak lagi akan mengadakan persembahan pentas, khususnya di Amerika Syarikat.
Britney bukanlah artis pertama yang mengambil tindakan menjual katalog muzik. Antara selebriti antarabangsa lain yang pernah berbuat demikian termasuk Justin Bieber, Katy Perry, Bob Dylan dan Bruce Springsteen.
Kebiasaannya, penjualan katalog dilakukan bagi memudahkan pengurusan harta serta royalti pada masa hadapan, selain memastikan waris menerima aset dalam bentuk yang lebih teratur seperti wang tunai atau pelaburan.
Untuk rekod, Britney sebelum ini dibebaskan daripada konservatori selama 13 tahun di bawah pengawasan bapanya pada 2021. Sepanjang tempoh tersebut, segala urusan kewangan dan kerjayanya dikawal sepenuhnya oleh penjaga yang dilantik mahkamah.
Penyanyi itu jarang memperincikan soal pendapatan, namun beberapa kali meluahkan rasa kecewa terhadap keluarganya. Terbaharu, menerusi satu hantaran di Instagram pada 4 Februari lalu, beliau meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan meskipun berdepan pengalaman pahit dalam keluarga.
Dalam perkembangan lain, Britney belum melancarkan album studio baharu sejak ‘Glory’ pada 2016. Bagaimanapun, dia sempat muncul menerusi kolaborasi ‘Hold Me Closer’ bersama Elton John pada 2022 serta ‘Mind Your Business’ bersama will.i.am daripada kumpulan Black Eyed Peas pada 2023.
Belum dapat dipastikan sama ada penjualan katalog tersebut menandakan Britney Spears benar-benar menutup tirai kerjaya seninya atau sekadar langkah strategi kewangan jangka panjang.










