Berwajah kampung, tidak cantik, kata-kata perit yang saya terpaksa telan - Ayu Damit - Utusan Malaysia

Berwajah kampung, tidak cantik, kata-kata perit yang saya terpaksa telan – Ayu Damit

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi popular, Ayu Damit, mendedahkan pengalaman pahit yang terpaksa dilaluinya sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni apabila berdepan kecaman terhadap rupa paras sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

Ayu atau nama sebenarnya Nur Ayu Damit, 36, berkata, sepanjang 18 tahun berada dalam industri hiburan, dia sering dilabel berimej kampung, tidak cantik serta tidak sesuai menjadi penyanyi kerana berwajah desa.

Lebih memilukan, terdapat segelintir pihak yang secara terbuka menyatakan dirinya tidak mempunyai masa depan dalam dunia seni semata-mata kerana gagal memenuhi standard kecantikan tertentu.

“Saya pernah sangat kecewa dan tersinggung apabila dikatakan wajah saya kampung, tidak cantik dan tidak sesuai menjadi penyanyi. Kata-kata itu sangat pahit untuk saya telan.

“Lama-kelamaan kata-kata itu meresap ke dalam fikiran sehingga saya mula mengalami kemurungan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu, kecaman yang diterima bukan sekadar komen terpencil, sebaliknya berlaku berterusan sehingga menyebabkan dia mempersoalkan nilai diri sendiri.

Tekanan yang dialami semakin bertambah apabila setiap usaha memperbaiki penampilan turut menjadi bahan kritikan.

“Apabila saya cuba tampil lebih kemas dan cantik, ada pula yang mengatakan saya berlebihan. Apa sahaja yang saya buat, tetap ada yang tidak puas hati,” katanya.

Lebih menyakitkan, Ayu turut berdepan tuduhan melampau apabila ingin kelihatan menarik di atas pentas sehingga penampilannya dikaitkan dengan didikan suami dan keluarga.

“Ada yang sanggup berkata suami saya tidak pandai mendidik isteri. Ada juga yang menghina cara saya bertudung. Kata-kata itu bukan sahaja menghina saya, malah seolah-olah menghina keluarga saya.

“Saya manusia biasa, ada perasaan. Di luar saya mungkin kelihatan kuat, tetapi hanya Allah yang tahu betapa peritnya saya memendam semua ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ayu berkata pengalaman tersebut mengajarnya untuk berdamai dengan diri sendiri dan menerima bahawa nilai seorang wanita tidak terletak pada kecantikan semata-mata.

“Saya sedar kekuatan sebenar datang daripada hati dan keikhlasan, bukan penilaian manusia,” ujarnya.

Selepas melalui fasa sukar termasuk berdepan kemurungan, Ayu mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar motivasi dan kesejahteraan emosi, Dr Hisham Dzakiria turut dikenali sebagai Dr Healing.

Menurut Ayu, pertemuan tersebut menjadi titik tolak untuk beliau kembali menenangkan diri, menyusun emosi dan melihat perjalanan hidup dengan lebih positif.

 

Dr Hisham berkata, ujian hidup tidak memilih status atau gelaran, sebaliknya setiap individu pasti melalui fasa jatuh dan bangkit.

“Nama atau status bukan sebab ujian datang. Apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang mengawal reaksi dan emosi ketika berdepan tekanan.

“Saya selalu mengingatkan Ayu agar tidak memberi ruang kepada suara negatif kerana ia boleh menyebabkan seseorang hilang fokus, arah dan jati diri,” katanya.

Tambah beliau, setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mempunyai hikmah tersendiri walaupun tidak dapat dilihat dalam waktu terdekat.

Ayu dan Dr Hisham berkata demikian pada majlis pembukaan rasmi Healing Centre Dr Hisham Dzakiria di Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Hisham berkata peningkatan kes kemurungan, kebimbangan melampau, konflik hubungan dan keletihan emosi dalam kalangan masyarakat hari ini menuntut perhatian serius terhadap kesihatan mental.

Sehubungan itu, Healing Centre Dr Hisham Dzakiria ditubuhkan sebagai pusat terapi emosi yang berorientasikan penyelesaian bagi membantu individu mencapai kestabilan emosi dan transformasi minda.

“Kami mahu menjadikan khidmat kesihatan mental lebih mudah diakses. Ramai sebenarnya bergelut dalam senyap akibat tekanan emosi dan stigma masyarakat.

“Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah berani ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN