KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Amber, melancarkan kempen Raya terbaharu bertemakan AMBER EID’S: TIME FOR LOVE bersempena Aidilfitri 2026, sekali gus memperkenalkan koleksi eksklusif sulung Amber LUXE.
Pelancaran ini meneruskan kesinambungan perjalanan kreatif Amber selepas kejayaan koleksi Raya Romantics tahun lalu yang menampilkan gabungan keanggunan klasik dan sentuhan moden dalam busana Aidilfitri.
Koleksi Raya Amber 2026 diperagakan oleh barisan duta jenama itu iaitu Amira Othman, Fattah Amin, Nora Danish dan Hael Husaini, yang mencerminkan kepelbagaian gaya serta keanggunan moden jenama berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan berkata, koleksi Aidilfitri tahun ini diperkenalkan menerusi pendekatan yang lebih berteraskan emosi serta nilai bermakna, sejajar aspirasi jenama untuk meraikan hubungan kekeluargaan, warisan dan kebersamaan sempena Syawal.
“Kempen AMBER EID’S: TIME FOR LOVE adalah simbol kasih sayang, warisan dan kebersamaan. Aidilfitri bukan sekadar tentang penampilan, tetapi tentang detik bermakna bersama insan tersayang. Setiap rekaan dihasilkan dengan penuh ketelitian agar bukan sahaja cantik digayakan, malah membawa nilai sentimental untuk dikenang dan diwariskan,” katanya.
Menurut beliau, penggambaran kempen Raya tahun ini dijalankan di Istanbul membabitkan barisan duta Amber termasuk Scha Alyahya.
“Pemilihan Istanbul dibuat kerana kota ini sarat dengan nilai budaya Islam dan elemen nostalgia yang selari dengan konsep kempen tahun ini. Selain itu, kami turut menyediakan sesuatu yang istimewa khas buat penonton setia UTV dari Istanbul,” katanya.

Enam Koleksi Wanita, Dua Lelaki
Bagi koleksi utama Amber Eid’s: Time for Love, Amber menampilkan enam koleksi wanita dan dua koleksi lelaki yang diinspirasikan daripada keindahan seni bina serta warisan Istanbul.
Koleksi wanita mengetengahkan fabrik ringan, siluet flowy, ruffle halus dan sulaman teliti, sesuai untuk momen Syawal. Antara rekaan ditampilkan ialah Lalizar, AyaSofya, Mihrimah, Hürrem, İznik dan Sarayli.
Sementara itu, koleksi lelaki pula hadir dengan gaya maskulin moden menggunakan fabrik kapas selesa berpotongan regular fit, diinspirasikan daripada corak sejarah Topkapı menerusi rekaan Bosphorus dan Rumeli.
Amber LUXE: Sentuhan Eksklusif
Sebagai pelengkap, Amber turut memperkenalkan Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection, koleksi eksklusif sulung jenama itu yang digayakan oleh Hael Husaini dan Scha Alyahya.
Dihasilkan menggunakan satin mewah serta chiffon sutera ringan, koleksi ini menampilkan perincian lipatan kemas, ruffle romantik dan sentuhan reben yang elegan. Ia merangkumi lima rekaan wanita iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela dan Leyla, serta tiga set Baju Melayu moden lelaki iaitu Orhan, Azra dan Demir.
Kesemua koleksi Amber Raya 2026 boleh didapati menerusi laman web rasmi bermula hari ini, dengan beberapa rekaan ditawarkan untuk pra-tempahan. Pembelian secara fizikal pula boleh dilakukan di butik Amber baharu di IOI City Mall, Putrajaya mulai 9 Februari ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Amber atau mengikuti Instagram @amber.officials.










