Untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan sememangnya memerlukan komitmen jangka masa yang panjang dalam bersenam demi membina gaya hidup sihat.
Meskipun berdepan dengan kekangan waktu, penyanyi Atilia Haron terus menjadi inspirasi ramai apabila dirinya kekal konsisten menjaga kesihatan tubuh badan dengan melakukan pelbagai senaman terutamanya, yoga.
Kata penyanyi bersuara lunak itu, minatnya melakukan aktiviti kecergasan hadir agak lewat. Namun kini ia menjadi rutin harian utama selepas menyedari stamina memberi kesan langsung terhadap kualiti nyanyian dan keyakinan ketika membuat persembahan.
“Minat saya terhadap fitness bermula pada usia 30-an. Saya fikir saya tidak perlu bersenam kerana sudah kurus. Sehinggalah satu ketika itu saya rasa saya tidak boleh menyanyi dengan baik dan sedar bahawa tenaga dan keyakinan diri banyak bergantung pada tahap kesihatan fizikal,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah penyanyi berusia 51 tahun itu, dia sentiasa memastikan dirinya melakukan senaman sekurang-kurangnya lima hari dalam seminggu dengan mengamalkan pelbagai gabungan senaman seperti kardio, latihan kekuatan dan berenang.
“Kebiasaannya saya akan bahagikan hari mengikut fokus seperti satu hari untuk senaman kardio, satu hari untuk latihan kekuatan, dan satu hari untuk yoga atau mobility. Hujung minggu pula saya akan berehat.
“Setiap jenis senaman itu mempunyai kebaikan tersendiri untuk meningkatkan stamina, membina kekuatan dan bentuk badan, manakala yoga membantu keseimbangan dan ketenangan minda.
“Gabungan senaman ini membuatkan saya rasa lengkap dan kuat secara fizikal dan stabil secara mental,” jelasnya.

Bagi memastikan disiplin kekal terjaga kerana jadual kerjaya yang tidak menentu, Atilia menjadikan senaman sebagai waktu peribadi untuk melegakan segala tekanan yang dilaluinya.
“Saya jadikan senaman sebagai me time. Walaupun jadual kerjaya seni tidak menentu, saya akan cari masa walaupun hanya 30 minit untuk bergerak. Saya juga akan bangun awal setiap hari untuk buat yoga selama sejam.
“Pada saya, 45 minit sehingga sejam sehari sudah mencukupi jika kita bersenam secara konsisten demi mengekalkan kualiti dan fokus. Yang penting, bukan dalam tempoh yang terlalu lama,” kongsinya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kekanda Adinda itu menganggap senaman sebagai terapi agar dirinya terus kekal positif, tenang dan yakin.
Selain bersenam, Atilia menekankan penjagaan pemakanan secara sihat juga penting untuk menjaga keseimbangan nutrisi dalam tubuh badan yang turut menjadi penyumbang kepada kesihatan mental.
“Saya tidak terlalu ketat bab penjagaan pemakanan. Tetapi, saya amalkan pemakanan seimbang dan berasaskan bahan semula jadi. Saya kurangkan gula, elak makanan diproses, dan lebihkan sayur serta protein.
“Saya percaya pada prinsip eat clean but enjoy your food. Pada hari saya rasa penat atau kurang motivasi, saya akan dengar kehendak badan saya dengan mendapatkan rehat secukupnya.
“Itu juga akan menjadi cheat day buat saya dengan membenarkan diri menikmati makanan kegemaran seperti pemanis mulut atau nasi lemak, tapi dalam kawalan. Keseimbangan itu penting supaya tidak rasa tertekan,” tambahnya.

Dalam usaha berkongsi manfaat yoga dengan masyarakat, Atilia mendedahkan dia sering mengendalikan kelas yoga secara percuma setiap pagi Sabtu di Taman KLCC dan mempunyai studio sendiri iaitu Prahara Studio di Damansara.
Atilia juga menegaskan yoga dan fitness tidak terikat dengan jantina atau agama, sebaliknya terbuka kepada semua golongan
“Saya percaya fitness tidak mengenal jantina. Yoga, contohnya, bukan hanya untuk wanita kerana ia tentang keseimbangan, kekuatan dalaman, dan kesedaran diri.
“Ramai lelaki juga mendapat manfaat besar daripada yoga, terutama dalam aspek fleksibiliti dan fokus mental. Fitness adalah terbuka untuk semua, tanpa batasan.
“Gaya hidup sihat bukan sekadar rutin fizikal, tetapi satu bentuk ekspresi diri dan disiplin hidup. Ia mencerminkan keseimbangan antara tenaga, ketenangan, dan semangat untuk terus berkarya,” ujarnya.










