Artis popular bakal meriahkan Affin Universe hujung minggu ini - Utusan Malaysia

Artis popular bakal meriahkan Affin Universe hujung minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Deretan artis popular tanah air bakal mewarnai pentas Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sempena penganjuran AFFIN Universe yang turut diadakan sebagai alternatif hujung minggu dengan menampilkan gabungan hiburan langsung, gaya hidup dan budaya di bawah satu bumbung.

Program selama dua hari itu yang berlangsung pada 7 dan 8 Februari 2026 (Sabtu dan Ahad), dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, menjanjikan pengalaman berbeza menerusi AFFIN Universe Anniversary Showcase yang direka sebagai acara menyeluruh sepanjang hari.

Pentas hiburan menjadi antara tarikan utama apabila barisan artis ternama seperti Hael Husaini, Marsha Milan, Mimifly, Datuk Seri Aliff Syukri, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan bakal membuat persembahan serta penampilan khas yang dijangka menghiburkan pengunjung sepanjang hujung minggu.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran artis seperti Puteri Khareeza, Imran Aqil, Atita Haris, Fiza Sabjahan, Fedtri Yahya, Fizi Ali, Datuk  Fazley dan Dr. Soo Winci, sekali gus menjadikan AFFIN Universe sebagai platform hiburan dan gaya hidup yang lengkap.

Selain persembahan pentas, pengunjung turut disajikan segmen istimewa ‘Let’s Talk’ bersama Sarimah Ibrahim, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Marriott Bonvoy, di samping siaran langsung khas yang menyatukan dua podcast kewangan terkemuka negara, Financial Faiz dan Mr. Money TV.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata, penganjuran AFFIN Universe mencerminkan peranan AFFIN yang melangkaui perbankan dengan memberi tumpuan kepada penglibatan komuniti, gaya hidup dan penciptaan pengalaman bermakna.

Dianjurkan bersempena ulang tahun ke-50 AFFIN, acara itu menghimpunkan pelbagai industri termasuk automotif, pelancongan, fesyen dan makanan yang disusun mengikut zon bertema, sekali gus menawarkan perjalanan gaya hidup kontemporari yang lancar dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Dengan gabungan artis hebat, aktiviti interaktif dan konsep pameran yang segar, AFFIN Universe di MITEC dijangka menjadi tumpuan utama hujung minggu, khususnya bagi mereka yang mencari pengalaman berbeza daripada rutin membeli-belah semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN