10 ikon seni bergabung dalam Ijmal Cinta Ramadan 3.0 - Utusan Malaysia

10 ikon seni bergabung dalam Ijmal Cinta Ramadan 3.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sepuluh ikon seni tanah air era 80-an dan 90-an bakal disatukan di atas satu pentas menerusi Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang dijadual berlangsung pada 14 Mac ini di Saloma Kuala Lumpur.

Konsert berkonsepkan hiburan dakwah itu menghimpunkan nama-nama besar seperti Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata serta The Rayhan, sekali gus menjanjikan malam penuh nostalgia dan penghayatan rohani sempena Ramadan.

Penganjurnya, Datin Sri Dr. Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi, Mubarak Akhtar berkata, penganjuran edisi ketiga itu dibuat atas permintaan tinggi peminat yang menghargai konsep hiburan dakwah diketengahkan sebelum ini.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja menampilkan persembahan berunsur ketuhanan, malah turut mengajak penonton menghayati pengisian rohani sepanjang program berlangsung.

“Selain persembahan artis, kita akan mulakan dengan tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, diikuti solat Maghrib secara berjemaah.

“Selepas itu, solat Isyak dan tarawih turut diadakan sebelum pentas persembahan dibuka,” katanya.

Tambah beliau, konsert tersebut juga membawa misi kebajikan apabila sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan kepada sekurang-kurangnya 25 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan.

Pihak penganjur turut merancang pemberian duit raya kepada anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan.

Jelasnya, usaha itu diharap dapat meringankan beban golongan terlibat menjelang Aidilfitri, sekali gus menjadikan Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 bukan sekadar medan hiburan, tetapi platform menyemai kasih sayang dan kebajikan dalam bulan penuh keberkatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN