PETALING JAYA – XO House Malaysia berjaya menganjurkan XO CAMP! Concert 2025, konsert kemuncak rasmi bagi program XO Camp, yang bertujuan mencungkil dan membangunkan bakat baharu di peringkat nasional.
Program ini bermula dengan XO Audition 1.0 dan XO Audition 2.0, yang menerima lebih 1,000 penyertaan daripada seluruh negara. Seramai 40 peserta terpilih kemudian menyertai XO Camp, latihan intensif selama tiga minggu yang menilai ketahanan, disiplin, kehadiran pentas serta tahap kesediaan peserta melalui cabaran mingguan, sesi bimbingan dan penilaian berstruktur.
Konsert kemuncak ini menampilkan persembahan langsung finalis di hadapan penonton, media dan pemain industri sebagai peringkat akhir pertandingan.
Ammar Haikal, 19, anak penyanyi Ameng Spring, muncul juara XO CAMP! Concert 2025, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,121.00 dan membuktikan bakat seni terus mengalir dalam legasi keluarganya.
Ammar berkata, “Saya pernah cakap dulu, saya bukan juara di program Talk to My Manager (TTMM), tapi insya-Allah juara di tempat lain.”
Tempat kedua dimenangi XO JR (Putera Nasa, Putra Danish, Ikhzy dan Airel Adam), manakala Fariq Iqwan menduduki tempat ketiga. Hayfa Andy berada di kedudukan keempat, manakala Aryan Alisa melengkapkan senarai Top 5.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif XO House, Adib Hamdi, berkata, “XO CAMP diwujudkan sebagai platform untuk mencungkil dan membangunkan bakat baharu. Semua artis berpotensi akan dipilih secara eksklusif daripada program ini, sebagai usaha membina platform lebih tersusun, relevan dan dekat dengan generasi muda, sambil menyumbang kepada pembangunan industri muzik tempatan.”
Beliau turut menjelaskan bahawa hadiah wang tunai dan pakej biasiswa bernilai RM12,121 ditawarkan kepada juara bagi membantu perjalanan dan pembangunan kerjaya artis baharu.
Konsert ini juga menampilkan persembahan artis ternama seperti Iman Troye, Zubir Khan, Naim Daniel, Aufahanie, Syafiq Aqiel, Awa Zainal dari Kartika, Imran Ajmain, Ismail Izzani, Zynakal, selain finalis XO Camp.
Kemasukan adalah percuma, membolehkan lebih 1,000 hadirin menikmati persembahan yang mempamerkan bakat dan potensi generasi artis baharu Malaysia.
Acara telah berlangsung pada 24 Januari 2026 di Ruang Rama, Petaling Jaya, bermula pukul 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.










