Wings lancar era baharu menerusi Konsert Wings Orang Kita - Utusan Malaysia

Wings lancar era baharu menerusi Konsert Wings Orang Kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan legenda rock tanah air, Wings, bakal menghangatkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert khas ‘Wings Orang Kita’ pada 30 Januari ini yang dijangka menjadi malam penuh emosi buat peminat setia.

Konsert anjuran Rumah Produksi Merah itu menandakan permulaan era baharu Wings yang terus membuktikan semangat dan jiwa rock mereka kekal utuh meskipun melalui perubahan zaman.

Kehadiran ahli baharu, Pae dan Arm, menyuntik nafas segar kepada Wings sekali gus memperlihatkan gabungan tenaga lama dan semangat baharu yang lebih matang serta bertenaga.

Perubahan barisan itu juga membuka lembaran fasa baharu buat Wings yang kini bergerak selari dengan evolusi muzik lebih segar dan relevan tanpa meninggalkan identiti asal kumpulan tersebut.

Seiring perkembangan itu, Wings turut merancang untuk menghasilkan dan melancarkan karya baharu sebagai kesinambungan perjalanan seni mereka dalam industri muzik tanah air.

Konsert Wings Orang Kita dianjurkan sebagai penghargaan khas kepada peminat yang sentiasa setia, termasuk mereka yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun sebelum ini.

Ia juga diraikan sebagai simbol hubungan erat antara Wings dan peminat yang terus berdiri teguh menyokong kumpulan itu sepanjang karier mereka.

Menariknya, konsert berkenaan turut menjanjikan elemen kejutan istimewa yang hanya boleh dinikmati secara langsung oleh penonton pada malam persembahan.

Walaupun melalui perubahan barisan, Wings menegaskan jiwa, tenaga dan roh kumpulan itu kekal utuh dengan sokongan padu peminat yang digelar ‘Orang Kita’.

Bagi memenuhi keperluan penonton, beberapa kategori tiket ditawarkan termasuk Rockzone Standing (RM178), Free Standing (RM148), Rockzone Seating (RM298), Premium Seat (RM428), Standard Seat (RM358) dan VIP Box berharga RM8,800.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN