BARU-BARU ini, sebuah klip daripada filem Hantu Kak Limah (2018) kembali tular di Threads dan ramai yang terkekeh dengan penampilan Datuk Awie sebagai Husin dalam filem itu. Tidak pasti adakah mereka terlalu kecil ketika filem Allahyarham Mamat Khalid itu ditayangkan, namun rata-rata terkejut apabila penyanyi Rock itu berjaya menampilkan karakter seperti itu yang disifatkan ironi dengan penampilannya dilihat tegas dan ganas itu.
Ramai juga yang merasakan sudah masanya Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, kembali melakonkan watak jenaka seperti itu. Berkesempatan bertemu Awie baru-baru ini, beliau mengakui sebenarnya ada pengorbanan yang perlu dilakukan membuatnya sedikit berat untuk kembali melangkah ke set penggambaran walaupun minatnya kepada lakonan masih menebal.
Ibarat harus memilih antara dua, Awie berkata, jadual padat di set penggambaran membuatnya perlu mengorbankan latihan nyanyian. Situasi itu membuatkan kualiti vokalnya terjejas teruk.
“Bila kita pergi ke satu set, bukan sahaja badan kita akan berubah, kualiti suara saya pun akan jatuh. Dia punya ‘power’ itu hilang.
“Saya kena pergi studio pulihkan balik, aduhai memang rasa macam nak pengsan. Katanya. Akan makan masa yang lama dan siksa.
“Jadi kalau boleh saya tak mahu tinggal latihan nyanyian. Sementara konsert tengah boleh cari makan, baik saya fokus, lakonan berilah kepada yang hebat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa untuk memulihkan semula kekuatan vokal selepas tamat penggambaran bukanlah satu proses yang mudah. Ia memakan masa yang lama dan menyeksakan. Perkara itu sangat merisaukan apalagi sebagai vokalis Wings, beliau dianggap nadi utama kumpulan itu.
“Lagu-lagu kumpulan Wings bukanlah seperti menyanyikan lagu di pusat karaoke. Ia memerlukan tenaga yang luar biasa dan ‘tinggi KLCC’.
“Lagu-lagu Wings ni semua ‘cekik darah’. Susah kalau momentum vokal sudah hilang,” tambahnya.
Malah, menurut pelakon Sembilu itu juga, beliau ada sahaja menerima tawaran berlakon sehingga kini termasuklah daripada produksi nama besar seperti Zaiton Jiwa. Namun tawaran itu perlu ditolak bukanlah kerana sudah besar kepala atau kenyang dengan wang ringgit.
Bukan itu sahaja, lakonan bagi Awie adalah sesuatu yang bersifat sentimental. Sejak Allahyarham Mamat Khalid meninggal dunia, dia mengakui ada sisi dirinya yang sudah malap, ibarat dibawa pergi oleh Allahyarham. Awie berasa semangat berlakon sudah semakin pudar.
“Rindu dengan arwah Mamat Khalid itu tetap ada. Tapi bila dia sudah tiada, saya pun macam hilang semangat sikit untuk berlakon,” ujarnya.
Album baru untuk Sayap Sayap Wings
Oleh itu, penyanyi itu mahu memberikan fokus utama kepada kumpulan Wings yang kini baru sahaja mengumumkan ahli baharu iaitu Pae atau Mohamad Nasfa Mohamed Nasir yang mengisi posisi pemain dram, manakala Ilham Ishak bertanggungjawab sebagai pemain basist.
“Saya mahukan komitmen. Kalau pemain undangan, susah sikit nak ikat. Jadi, bila saya lihat keterujaan mereka, saya terus tawarkan kontrak.
“Pae kita semua kenal dia seorang yang habr cuma Am waktu mula-mula jumpa saya ingat umur dia 40-an. Rupanya baru 30-an. Umur muda lagi tapi bakat dan disiplin dia sangat bagus,” katanya sambil ketawa.
Mengulas mengenai hala tuju Wings yang baharu, Awie berkata semua itu bakal dibuktikan dengan satu album baharu yang bakal dikepalai oleh Edrie Hashim. Album itu bakal dirakam di luar negara termasuklah Indonesia dan Australia.
“Kadang-kadang kita perlukan ketenangan. Saya pernah rakam album di hotel, bukan di studio, kerana mahukan suasana yang santai dan rileks,” katanya lagi.
Bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi akan dijadikan waktu ‘keramat’ untuk mereka bertapa di studio rakaman kerana jadual konsert yang sangat padat selepas itu.
Mengakhiri perbualan, Awie menegaskan bahawa beliau tidak mahu tamak mengejar semua peluang dalam satu masa. Biarlah beliau fokus pada satu perkara, asalkan ia memberikan kepuasan maksimum. Baginya, maruah Wings dan kualiti persembahan adalah segala-galanya.










