PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mengumumkan dirinya telah selamat menimang cahaya mata ketiga, pada 28 Januari lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Uyaina turut mendedahkan dirinya sekali lagi menimang zuriat lelaki.
“Pewaris takhta baharu. Raja nombor tiga sudah tiba,” katanya.
Pun begitu, bekas pengacara Wanita Hari Ini tersebut masih belum mendedahkan wajah serta nama putera ketiganya itu.
Sementara itu di Threads, Uyaina menganggap kehadiran tiga cahaya mata lelaki dalam hidupnya itu adalah kurniaan paling indah dari Tuhan buat dirinya yang membesar tanpa sosok seorang bapa.
“Waktu saya mengidam emas, ramai kata mesti perempuan. Tetapi tidak. Anak saya lelaki! Alhamdulillah, syukur. Allah itu adil. Saya membesar tiada ayah.
“Ayah saya meninggal waktu saya lima tahun. Sekarang, bila sudah menjadi seorang ibu, Dia hadirkan tiga orang anak lelaki untuk saya. Syukur tidak terkata,” tulisnya.
Sebelum ini, Uyaina menerusi sebuah sesi temu bual memaklumkan dia belum bersedia untuk mengetahui jantina anak ketiganya, selain meluahkan hasratnya untuk menimang cahaya mata perempuan.
Untuk info, Uyaina telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua lagi cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan dan Raja Urayyan.










