TV Al-Hijrah lancar Wakaf Media - Utusan Malaysia

TV Al-Hijrah lancar Wakaf Media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: TV AlHijrah mengambil inisiatif tersendiri dengan mewujudkan Wakaf Media yang menggabungkan konsep wakaf dengan medan dakwah dan penyiaran Islam bagi menyokong penyebaran ilmu serta pembangunan kandungan Islamik yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Melalui pelaksanaan Wakaf Media, dana wakaf yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi membiayai penerbitan kandungan ilmiah Islamik, pembangunan aset serta fasiliti media penyiaran, dan dilaburkan dalam instrumen patuh syariah bagi menjana manfaat wakaf yang berterusan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris memberitahu usaha yang dimulakan TV AlHijrah ini diharap mampu membuka satu ruang baharu buat umat islam khususnya dalam menentukan program dakwah yang sesuai sekali gus akan menjadi bekalan penting buat generasi akan datang.

“Melihat cabaran yang dihadapi kita kini khususnya umat Islam, kita tahu media ini penggunaannya meluas. Jadi Waqaf Media ini diwujudkan dalam memberi peluang kepada umat dalam menikmati program-program dakwah yang akan disediakan media Islam sendiri.

“Sebagai langkah permulaan, sebahagian dana Wakaf Media akan menyokong penerbitan dua program utama iaitu Quran@114 dan Hadis@114. Kedua-dua program ini bertujuan memperkenalkan keseluruhan 114 surah al-Quran dan 114 hadis terpilih secara sistematik, berperingkat dan mudah difahami oleh semua lapisan Masyarakat,”katanya.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Everly Putrajaya semalam telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Sementara itu, Program Quran@114 bukan sekadar membacakan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi mengajak masyarakat memahami mesej, pengajaran dan hikmah di sebaliknya, manakala Hadis@114 pula menghubungkan masyarakat dengan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup yang menyeluruh dan relevan sepanjang zaman.

Dalam pelaksanaan Wakaf Media ini, Yayasan Waqaf Malaysia berperanan sebagai Pengurus Dana Wakaf, memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan patuh syariah, selaras dengan kerangka pentadbiran wakaf negara serta penyelarasan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku Pemegang Amanah Tunggal wakaf.

Selain itu,  Dr. Zulkifli  turut mengumumkan pembukaan Tabung Dana Wakaf Media kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, serta menyeru penyertaan semua pihak termasuk syarikat korporat, agensi kerajaan, usahawan dan orang awam untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha dakwah melalui wakaf, walaupun dengan sumbangan yang kecil.

Pelaksanaan Wakaf Media ini selari dengan agenda Malaysia MADANI, khususnya melalui pendekatan MADANI Membantu, yang memberi peluang kepada rakyat untuk menyokong pembangunan insan berteraskan ilmu, nilai dan ihsan melalui penyebaran al-Quran dan hadis sebagai amal jariah yang berterusan.

Inisiatif ini menegaskan peranan penyiaran Islam dalam membentuk pemikiran masyarakat, sejajar dengan fungsi TV AlHijrah sebagai saluran penyampaian mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN