Tunggu lima tahun lagu matang sebelum jadi artis paling banyak distrim- Insomniacks - Utusan Malaysia

Tunggu lima tahun lagu matang sebelum jadi artis paling banyak distrim- Insomniacks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Insomniacks mengakui lagu mereka memerlukan masa lima tahun untuk diterima pendengar, sebelum akhirnya melonjak menjadi mereka artis paling tinggi distrim di Malaysia.

Mewakili kumpulan Insomniacks, Wan Arif Iskandar berkata, pencapaian Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025 merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan menjadi antara kejayaan terbesar mereka.

“Ini kali pertama kami berada di nombor satu. Sebelum ini, kami di top tiga atau top lima sahaja. Bila dapat tahu kami nombor satu, memang terkejut. Kami sangat bersyukur dan gembira.

“Matlamat kami memang mahu berkembang setiap tahun dan pencapaian ini adalah hasil proses panjang itu,” katanya.

Insomniacks ditemui ketika sidang media pelancaran drama siri Viu Original, Sesaat Lebih, di 1 Utama, Petaling Jaya, pada Rabu.

Mengulas lanjut tentang pembikinan lagu mereka, gitaris, Daniel Lee Hakim berkata karya mereka bukan lagu yang hit segera sebaliknya memerlukan masa untuk membesar bersama pendengar.

“Lagu kami tidak terus meletup. Ia berkembang perlahan-lahan. Saya percaya lagu-lagu kami mengambil masa sekitar lima tahun untuk benar-benar matang.

“Apabila orang melalui pengalaman hidup mereka sendiri, barulah lagu itu melekat. Dari situ lagu tersebut menjadi lebih besar dan bermakna,” jelasnya.

Danial turut memaklumkan Insomniacks kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada projek baharu bagi tahun 2026, selain berharap sokongan peminat terus menjadi nadi kekuatan mereka.

“Tahun 2026, kami fokus pada projek baharu. Harapnya kami dapat teruskan kerjaya ini dan peminat kekal menyokong kami,” katanya.

Selain lagu, Insomniacks yakin hubungan baik bersama peminat juga menyumbang kepada kejayaan itu.

“Kami berkawan dengan peminat dan berbual seperti kawan. Kami tidak terlalu banyak membuat hantaran, sebaliknya lebih banyak berinteraksi dalam grup Telegram dan bertemu peminat ketika persembahan,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Distrim, manakala Insomniacks dinobatkan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN