PETALING JAYA – Kumpulan rock moden, The Flow yang dianggotai Akie Keyflow selaku gitar utama dan komposer, Marsh (vokal utama), Acap (bass), Rizal (dram) serta Omar (keyboard/synth) tampil membawa nafas segar dalam landskap muzik tempatan dengan identiti bunyi tersendiri.
The Flow mengetengahkan gabungan melodi bertenaga, lirik sarat emosi dan persembahan pentas yang memukau sekali gus menjadikan kumpulan itu mudah dikenali dalam kalangan peminat muzik rock moden.
Keunikan muzik The Flow banyak digerakkan oleh sentuhan kreatif Akie Keyflow yang bertindak sebagai tunjang utama kumpulan menerusi gubahan dan susunan muzik yang kemas serta berjiwa besar.
Sebagai komposer berpengalaman, Akie Keyflow bukan nama asing dalam industri muzik apabila pernah menghasilkan pelbagai karya yang menerima pengiktirafan di peringkat rantau sebelum penubuhan rasmi The Flow.
Pada tahun 2024, The Flow melangkah ke fasa baharu apabila melancarkan single debut berjudul Cinta Hati yang menandakan kemunculan rasmi mereka dalam industri muzik arus perdana.
Kejayaan itu diteruskan dengan pelancaran single kedua Cinta Dewi Ku yang turut mengekalkan elemen rock moden beremosi tinggi dengan penonjolan kekuatan vokal Marsh.
Dalam rekod pencapaian terdahulu, Marsh pernah mencipta nama menerusi lagu Rental Hooray Hooray pada 2001 yang meraih lima pencalonan Anugerah Planet Music bersama kumpulan Marshmallow.
Selain itu, lagu Ketawa Lagi pada 2004 pernah dicalonkan di Pesta Perdana sebagai runut bunyi drama komedi, manakala Rojak Maznah Ke Tu (2023) mencatat kejayaan apabila menduduki tangga nombor satu radio di Bandung sebelum The Flow tampil dengan single Cinta Hati dan Cinta Dewi Ku sebagai pembuka langkah baharu mereka.










