Tak akanlah saya hendak jadi orang lain? - Erma Fatima - Utusan Malaysia

Tak akanlah saya hendak jadi orang lain? – Erma Fatima

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penerbit dan pengarah terkemuka tanah air, Erma Fatima menegaskan pendiriannya untuk tidak terikut-ikut menghasilkan karya drama berkaitan kisah tragis Hind Rajab walaupun isu itu mendapat perhatian luas di peringkat antarabangsa, termasuk dalam kalangan masyarakat tempatan.

Menurut Erma, keputusan itu bukan dibuat secara sambil lewa, sebaliknya berpaksikan prinsip dan identiti kreatifnya sebagai seorang pengkarya yang enggan mengulang perkara sama yang telah dilakukan oleh pihak lain.

“Ada netizen tanya kenapa saya tak hasilkan naskhah ala drama berkaitan Palestin, seperti kisah Hind Rajab. Soalan saya, kenapa saya mesti mengambil isu yang sama? Orang lain dah buat, dah mulakan dan Alhamdulillah. Tak akan saya hendak jadi orang lain?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tegas Erma, dia lebih selesa kekal menjadi diri sendiri dengan membawa sudut pandang tersendiri dalam menyampaikan pandangan terhadap isu Palestin atau mana-mana isu kemanusiaan.

“Dah tentu saya akan jadi diri saya dan mengambil sudut pandang apa yang saya nak paparkan tentang pandangan saya mengenai Palestin.

“Saya rasa kisah Hind Rajab ini kalau kita tengok, dia sudah cukup menjaga etika. Tidak memaparkan wajah kanak-kanak itu ataupun memaparkan pelakon yang melakonkan watak kanak-kanak tersebut,” katanya.

Namun, meskipun tanpa paparan tersebut, Erma mengakui emosi dan penderitaan mangsa tetap dapat dirasai oleh penonton.

“Walaupun tidak ada, kita tetap dapat rasa. Kita dapat merasakan kesakitan dan perjalanan yang harus dilalui, daripada dia hidup dalam kereta itu sampailah dia meninggal dunia.

“Bagi saya, sudah cukup yang bernama dokumentari itu disampaikan dengan cara begitu,” katanya.

Selain itu, sebagai pengkarya yang sering mengangkat isu kemanusiaan dan sosial, Erma turut menjelaskan pandangannya sama ada isu Palestin perlu dianggap sebagai tanggungjawab khusus pengkarya tempatan atau sebaliknya ditangani dengan lebih berhati-hati.

“Kalau kita bercerita tentang kemanusiaan, ia bukan cuma mengenai apa yang berlaku di Palestin. Ada banyak lagi isu kemanusiaan yang ada dalam dunia ini, termasuk dalam Malaysia,

“Konflik dan penderitaan manusia berlaku di pelbagai negara dan tidak seharusnya dilihat secara terhad.Kalau nak ambil cerita, sama ada nak ambil cerita Palestin, Sudan sekarang, Aceh atau di mana juga, apa yang berlaku itu semua adalah isu kemanusiaan.

“Jadi ia tidak semestinya mengenai Palestin semata. Yang bernama kemanusiaan adalah tanggungjawab kita.Kalau kita seorang pengkarya yang ada tanggungjawab, kita boleh pilih apa sudut pandang kita mengenai kemanusiaan itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erma turut memberi reaksi terhadap kritikan segelintir pihak yang melabelkan sebahagian drama arahannya sebagai mengarut dan terlalu sensasi.

“Ada masanya bila kritikan mengarut ni saya malas nak layan sangat.Bagaimanapun, saya akui ada juga komen yang lucu dan tidak keterlaluan. Macam ada seorang netizen bernama Kak Nor baru-baru ini, dia komen saya begitu. Saya rasa comel sangat komen dia. Jadi saya jawab sahaja,” ujarnya.

Namun, Erma mendedahkan, dia lazimnya tidak membaca komen-komen kasar, khususnya ketika berlakunya ‘musim kecaman’ di media sosial.

“Untuk pengetahuan mereka yang suka komen kasar, bila perkara itu berlaku saya memang tidak membaca komen-komen tersebut, apatah lagi bila musim kecaman.Saya tak ambil peduli sangat pasal komen itu.

“Apa yang lebih penting dalam hidup saya adalah saya kena memperbaiki diri, perbaiki karya saya dan perancangan masa depan saya.Daripada saya fikir apa orang cakap pasal karya saya, lebih baik saya fokus sebab buat baik orang cakap, buat buruk pun orang tetap cakap,” ujarnya.

Malah, kata Erma, dia menerima hakikat bahawa mustahil untuk memuaskan hati semua pihak selain berpegang pada prinsip menghasilkan karya yang memuaskan dirinya sendiri.

“Saya harus puaskan diri saya. Kalau seorang tak suka, mungkin ada 10 orang lain yang suka. Individu yang tak suka, saya anggap mereka seperti lalang di tepi jalan. Tanpa hujan, tanpa disiram, dia akan mati juga.

“Tak apa kalau tak suka. Kita tak boleh paksa orang untuk suka karya kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN