Sienna Spiro cipta fenomena di Malaysia menerusi 'Die On This Hill' - Utusan Malaysia

Sienna Spiro cipta fenomena di Malaysia menerusi ‘Die On This Hill’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi dan penulis lagu dari London, Sienna Spiro, terus mencuri perhatian peminat muzik global apabila single terbaharunya, ‘Die On This Hill’ menerima sambutan luar biasa di Malaysia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat generasi baharu.

Digelar sebagai ‘New Adele’ Generasi Z, Sienna dikenali dengan vokal yang penuh emosi serta lirik jujur yang dekat dengan jiwa pendengar. Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, namanya melonjak naik menerusi pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa.

Antara pencapaian utama Sienna termasuk pemilihannya sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026, selain kejayaan EP sulungnya, ‘Sink Now, Swim Later’ yang dilancarkan pada awal 2025. EP tersebut menampilkan lagu seperti ‘Origami’, ‘Back To Blonde’ dan ‘Need Me’ yang menerima sokongan awal daripada bintang global seperti SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.

Di Malaysia, ‘Die On This Hill’ terbitan Capitol Records mencetuskan fenomena tersendiri apabila berjaya menembusi carta Spotify Top 50 Malaysia di kedudukan #12, selain mencapai #41 dalam Spotify Top 50 Global. Pencapaian ini membuktikan bahawa karya Sienna bukan sahaja mendapat tempat di pasaran antarabangsa, malah turut menawan pendengar Asia Tenggara.

Populariti lagu ini turut diperkukuh menerusi gelombang video ‘cover’ dan kandungan kreatif di TikTok dan Instagram, yang dikongsi oleh artis tempatan seperti Yazmin Aziz dan Julia Duclos, selain Key Opinion Leaders (KOL) termasuk Elica Paujin dan Cici. Trend ini menjadikan ‘Die On This Hill’ antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini.

Selain itu, artis tempatan seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle turut berkongsi interpretasi tersendiri terhadap lagu tersebut, sekali gus memperluaskan lagi jangkauan Sienna dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Dilancarkan pada Oktober 2025, ‘Die On This Hill’ merupakan susulan kepada ‘You Stole the Show’, yang sebelum ini menerima pujian media antarabangsa seperti CLASH, yang mengangkat Sienna sebagai “bona fide breakout talent”.

Menerusi lagu ini, Sienna, 20, mengangkat tema cinta yang degil dan sukar dilepaskan. Menurutnya, ‘Die On This Hill’ mengisahkan tentang cinta yang membuatkan seseorang terus bertahan walaupun mereka tahu sudah tiba masa untuk pergi.

Single ini dihasilkan bersama barisan penerbit tersohor dunia seperti Omer Fedi (SZA, Lil Nas X), Michael Pollack (Miley Cyrus, Lady Gaga) dan Blake Slatkin (Sam Smith, Tate McRae), serta diperkayakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah GRAMMY®, Rob Moose.

Dengan kekuatan vokal luar biasa serta kejujuran emosi yang menyentuh jiwa, ‘Die On This Hill’ dilihat sebagai satu lagi bukti kebangkitan Sienna Spiro sebagai suara baharu paling berpengaruh dalam landskap muzik hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN