KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengambil maklum mengenai kehilangan pelakon, Nadia Kesuma yang dilaporkan tidak dapat dikesan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi pada jam 6.20 pagi waktu tempatan, semalam.
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, dia secara peribadi telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pagi tadi.
Menurutnya, hasil maklumat awal yang diperoleh mendapati Nadia Kesuma sepatutnya meneruskan penerbangan ke London pada jam 8.30 pagi selepas transit selama kira-kira dua jam di Jeddah.
“Bagaimanapun, dia tidak menaiki pesawat tersebut dan dilaporkan hilang selepas ke tandas. Pihak lapangan terbang telah beberapa kali membuat panggilan nama beliau namun tiada sebarang respons,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, beg tangan (hand carry) milik Nadia Kesuma ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, manakala bagasi yang dimasukkan ke dalam kargo pesawat telah selamat tiba di London.
Sehubungan itu, katanya, pihak keluarga bersama Konsulat Malaysia di Jeddah telah membuat laporan polis hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia dan Arab Saudi menjalankan siasatan lanjut, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang berkenaan.
Hafiz turut menjelaskan kekeliruan berhubung mesej WhatsApp yang dihantar oleh Nadia Kesuma kepada suaminya sejurus mendarat di Jeddah.
“Kenyataan ‘I met stranger’ yang dihantar Nadia merujuk kepada jemaah atau rakan perjalanan yang baru dikenalinya dalam trip tersebut dan bukan membawa maksud dia bertemu individu lain seperti yang disalah tafsirkan,” katanya.
Dalam pada itu, SENIMAN menggesa semua pihak supaya menghentikan penyebaran kenyataan tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang kini berada dalam keadaan cemas dan bimbang.
“SENIMAN memohon doa agar keluarga Puan Nadia Kesuma diberikan kekuatan dalam menghadapi saat sukar ini dan percaya pihak berkuasa Arab Saudi akan bekerjasama rapat dengan Konsulat Malaysia di Jeddah bagi menjejaki keberadaan beliau,” ujarnya.
Menurutnya lagi, SENIMAN akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa sekiranya menerima maklumat lanjut.
“Sama-sama kita doakan agar Nadia Kesuma berada dalam keadaan selamat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah,” katanya.










