KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penstriman video terkemuka di bawah PCCW, Viu, terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap hiburan digital serantau menerusi pelancaran Viu Shorts, segmen video vertikal baharu yang boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih Viu.
Segmen mikro-drama yang dikemas kini setiap bulan itu diperkenalkan bagi melengkapkan penawaran sedia ada Viu yang merangkumi siri dan filem premium berdurasi panjang, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan hiburan kepada pengguna, khususnya penonton mudah alih.
Ketua Pegawai Eksekutif Viu merangkap Pengarah Urusan Kumpulan PCCW Media, Janice Lee berkata, pelancaran Viu Shorts menandakan satu dimensi baharu dalam pengalaman tontonan pengguna.
“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Viu Shorts yang menampilkan penceritaan pantas dalam format episod berdurasi antara satu hingga tiga minit. Inisiatif ini bukan sahaja melengkapkan kandungan premium kami, malah membolehkan kami berinteraksi dengan penonton mengikut keutamaan kandungan mereka serta menyediakan hiburan yang fleksibel dan menghiburkan pada setiap masa,” katanya.
Menurut beliau, Viu Shorts direka khusus untuk tontonan vertikal dan mudah alih, sejajar dengan perubahan corak penggunaan kandungan digital masa kini.
Antara ciri utama Viu Shorts ialah perpustakaan kandungan pelbagai bahasa dan genre yang merangkumi mikro-drama dalam bahasa Cina, Korea, Thai dan Indonesia. Kandungan tersebut merentasi genre popular seperti percintaan, thriller, variasi dan fantasi, selain dilengkapi sarikata dalam bahasa tempatan.
Dari segi akses, Viu Shorts menggunakan model freemium yang membolehkan semua pengguna menikmati segmen tersebut. Pelanggan berbayar diberikan akses tanpa had ke keseluruhan perpustakaan mikro-drama, manakala pengguna percuma boleh menonton kandungan terpilih dengan paparan iklan mengikut tahap langganan.
Bagi memastikan aliran kandungan berkualiti tinggi secara berterusan, Viu turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pengedar dan pengeluar mikro-drama terkemuka seperti Rising Joy, KT Studiogenie, China Huace, 1001 Frames dan Youhug Media.
Pelancaran Viu Shorts sekali gus mengukuhkan lagi strategi mobile-first Viu yang terbukti berjaya, selari dengan peningkatan permintaan terhadap hiburan berdurasi pendek yang boleh dinikmati pada bila-bila masa tanpa menjejaskan kualiti premium yang sinonim dengan jenama tersebut.
Aplikasi Viu yang kini dilengkapi segmen Viu Shorts boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Antara judul pilihan yang ditawarkan sempena pelancaran termasuk Pear Perfect, The Most Painful Kiss in the World, My Husband Murdered Me dan Becoming the Wife of a Dark Cult Overlord, yang masing-masing menampilkan jalan cerita dramatik merangkumi tema cinta, pengkhianatan, dendam dan misteri.










