SEJAK bergelar penyanyi empat tahun lalu, Zaki Yamani acap kali dibanding-bandingkan dengan bapanya yang juga Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.
Kalau di awal dahulu, penyanyi berusia 19 tahun tidak mampu membebaskan diri daripada asakan komen-komen negatif netizen yang mengkritik kebolehan nyanyiannya yang dulu dikatakan tidak setanding dengan bapanya.
Kini, sementalah meningkat usia dan mengalami perubahan suara, kritikan berbeza pula yang menghujani anak kelahiran Kajang, Selangor ini yang kali ini pula dikatakan cuba meniru nyanyian bapanya.
Mungkin pada tahap ini , Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah sudah lelah mendengar atau membaca terlalu banyak pandangan negatif.
Dalam pertemuan baru-baru ini, Zaki menegaskan dia terpaksa berdamai dengan takdir dan reda menerima hakikat yang dirinya tidak akan dapat melepaskan diri daripada pandangan masyarakat apatah lagi apabila bergelar anak kepada penyanyi terkenal.
“Saya tidak pernah merancang untuk ke arah itu (meniru bapa). Senang cerita, saya tak mahu jadi seperti dia. Saya mahu orang tahu perkara itu.
“Saya selalu dikatakan mahu menjadi seperti Jamal Abdillah, walhal perkara itu tidak benar sama sekali.
“Saya telah cuba pelbagai cara termasuklah untuk tidak sering menyanyikan lagu-lagunya. Tapi orang tetap perkara yang sama mengenai saya.
“Apa pun pandangan yang dilayangkan, saya ambil positif sahaja. Saya tak ada pilihan, sebab saya ini anak Jamal Abdillah. Mungkin ada kebaikan diaebalik perkara ini. Secara tak langsung, peminat-peminat juga kenal saya meskipun hakikatnya saya ini tidaklah mahu menggunakan namanya untuk dikenali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Zaki, bergelar darah daging Jamal Abdillah bukan alasan untuk dia menyanyi seperti ayahnya. Malah dia sebolehnya mahu dikenali dengan identiti dan gaya nyanyian tersendiri.
“Seperkara yang tak ramai tahu, apabila usia seseorang lelaki itu meningkat belasan tahun, mereka akan melakui fasa perubahan diri termasuklah keadaan suara yang menjadi matang.
“Itulah yang saya lalui dan saya akui secara semula jadinya, tona suara saya juga ada sedikit persamaan dengan Jamal Abdillah. Iyalah, saya inikan darah dagingnya, tentu sekali kami ada persamaan.
“Tapi ketahuilah saya melakukan pelbagai cara agar nyanyian saya tidak kedengaran sepertinya,” kongsinya lagi.
JAUH HATI?
“Kami okey sahaja.”
Demikian maklum balas Zaki apabila disoal tentang hubungan dengan bapanya yang sebelum ini dikhabarkan renggang.
Kata Zaki, dia dan bapanya tidak pernah bermasam muka apatah lagi bersengketa.
“Antara kami tak timbul masalah. Tapi saya akui, kami tidak rapat. Tapi kami masih berhubung, kali terakhir dia menghantar mesej kepada saya adalah pada sambutan tahun baharu yang lalu.
“Kami memang jarang berjumpa. Jika ada keperluan barulah kami berhubung. Cuma saya mahu orang lain tahu yang hubungan kami baik,” ujarnya.
Kata Zaki, Jamal bukanlah tempat untuk dia meluahkan atau bercerita masalah disebabkan hubungan sesama mereka yang tidak akrab.
“Saya ini memang susah nak meluahkan masalah kepada orang yang saya tak rapat. Sejak kecil sampailah sekarang, hanya ibu sahaja tempat saya meluahkan banyak perkara.
“Tapi saya tidaklah pernah terasa hati dengan ayah hanya kerana dia tidak selalu berada di sisi saya. Saya sudah matang untuk memahami dan menerima keadaan. Saya tahu ayah saya sibuk menguruskan kerjayanya,” kongsinya.










