BUKAN pertama kali juga bertebaran beberapa khabar angin dalam kalangan warga industri tentang sikap pendatang baharu yang besar kepala. Baik yang datang lambat anggap set macam rumah sendiri sampailah kepada pelakon muda yang hanya mahu duduk dengan geng mereka semasa penggambaran. Ada juga bisik-bisik tidak puas hati dengan sikap artis baharu bercakap kasar hanya kerana diri mereka sedikit popular.
Pelakon, Ezaidi Aziz dikategorikan sebagai kelompok pendatang baharu namun cemerlang baik daripada segi sikap hinggalah lakonan membolehkannya ditawarkan menyandang karakter utama. Tapi bila ada dakwaan pendatang baru besar kepala, mereka yang memiliki rekod bersih ini juga terkena tempias yang sama. Tidak terkilankah? Jawablah Ezaidi Aziz.
J: Sudah jadi macam satu skeptikal pula asyik dengar aduan, bisik-bisik mengatakan pendatang baharu keras kepala. Nama Ezaidi tidak pula ada dalam senarai, namun awak akui ada rakan pelakon segenerasi bersikap demikian?
Ezaidi:Ya, ada juga saya dengar berkenaan itu. Itu juga antara perkara yang saya ambil perhatian supaya tidak salah tingkah hingga mengguris hati sesiapa. Sebagai seorang introvert saya beranikan diri juga untuk mulakan langkah tegur dan salam mereka semua yang ada di set penggambaran.
Walau saya akui, ada masanya macam takut salah ‘masuk’ lebih-lebih lagi kalau mereka sedang berbual dengan pelakon lain. Tapi begitulah, cara saya ketika masuk ke mana-mana set, kita salam sahaja mereka semua.
J: Bila sebut ‘introvert’, maksudnya anda kurang bercakap ya. Jadi, pernahkah ada yang salah faham anggap awak sombong?
Ezaidi: Setakat ini saya tidak ada dengar pula ada kata begitu. Mungkin sebab saya ada jelaskan juga saya memang pendiam orangnya.
Tapi saya tidak nafikan, ada sikap kurang baik juga yang ditunjukkan pendatang baharu seperti buat sesi siaran langsung di set penggambaran, kita waktu itu sedang ‘shoot’. Juga ada sesetengah yang tidak mahu bergaul dengan orang lain. Pernah ada satu ketika orang produksi tegur mereka dan kata ‘Kalau dulu perangai begini memang kena maki dengan senior’.
Saya fikir untuk elak salah faham, kita yang muda bertegur sapa sahajalah agar keadaan tidak menjadi janggal. Setakat yang saya lakukan, ia menjadi.

J: Itu kalau dengan artis senior dan kru, tapi sesama rakan segenerasi? Ada yang tunjuk belang? Awak pernah kena? Maklumkah kebiadaban tidak mengira umur.
Ezaidi: Tiada. Setakat ini, tidak pernah lagi depan ada pengalaman berurusan dengan pelakon segenerasi atau lebih muda yang begitu terhadap saya. Mereka malah bagi tips dan semangat agar saya tidak berhenti atau mengalah. Syukur juga dikelilingi mereka yang positif.
J: Ada juga dakwaan kata bayaran pelakon baharu ini terlalu tinggi menyebabkan artis senior dapat bayaran sikit. Maklumlah bajet pula tidak banyak. Walhal kalau ikut pengalaman, pelakon senior selayaknya dapat lebih tinggi.
Ezaidi: Saya tidak boleh jawab bagi pihak orang lain, tapi boleh tanya mana-mana produksi yang ambil saya, saya jenis tak kisah. Saya anggap itu semua rezeki asalkan cukup untuk pulang modal seperti kos minyak. Tapi penting juga untuk bersangka baik, maksud saya ada beberapa kes di mana artis tak tahu pun berkenaan itu. Ada pihak ketiga yang tolong menjadi orang tengah dan letak harga tinggi.
J: Jadi, awak setuju dengan persepsi orang yang pelakon baru ‘demand’? Atau sebenarnya apa yang diminta itu berbaloi untuk kos pengangkutan, masa dan sebagainya?
Ezaidi: Saya akan kira kos untuk pengangkutan, makan dan penginapan kalau di luar kawasan. Sekurang-kurangnya ada sikit untuk saya simpan sebab saya pun ada komitmen lain. Saya tidak minta melampau-lampau pun, saya baru lagi. Saya pun banyak merujuk kepada senior dan kawan-kawan. Saya tidak boleh nak minta tinggi-tinggi sebab pengalaman pun baru.
J: Untuk Ezaidi sendiri, ada tak pengarah yang cakap depan mata awak yang harga awak tinggi?
Ezaidi Aziz: Tidak pernah. Cuma ada sekali saya beritahu harga bedasarkan projek sebelum ini tapi mereka cakap saya ‘demand’. Tapi kalau mereka tak boleh bayar harga itu, saya terbuka untuk perbincangan. Sebab saya rujuk juga kawan-kawan.
Satu lagi semasa penggambaran, mereka nak guna kereta saya. Tidak pula saya anggap sewa.
J: Ada tak waktu awak bagi harga, pengarah kata “rendah sangat ni” dan mereka naikkan sikit?
Ezaidi Aziz: Jarang berlaku tapi insya-Allah mungkin ke depan ada. Eh ada, kejap. Saya cuba letak harga dan mereka okay. Sebenarnya boleh berbincang. Bila saya bagi harga, saya akan cakap ianya boleh dirunding untuk situasi menang-menang. Saya tak ‘demand’ pun, saya pun siapa saja hendak ‘demand’.










