KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini bagi prosiding pengesahan taklik yang difailkannya terhadap suaminya, Beego.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, berkata, prosiding berkenaan merupakan sambungan sebutan selepas defendan gagal hadir pada prosiding terdahulu.
“Hari ini sambungan kes sebutan taklik kerana sebelum ini defendan tidak hadir. Hari ini dia datang, jadi kita tidak tahu apa lagi yang akan berlaku.
“Bagi saya, ada perkara yang sukar berkaitan video taklik dan hanya hakim yang boleh mengesahkannya, namun yang pasti taklik itu telah dilanggar.
“Sekiranya lafaz itu didapati tidak sah, kes akan diteruskan di bawah Seksyen 47 iaitu tuntutan cerai atas alasan tiada persefahaman. Saya berharap hari ini semuanya dapat diselesaikan dan menantikan pengesahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Linda turut menegaskan keputusan untuk bercerai dibuat selepas mempertimbangkan sebaik-baiknya demi kebaikan semua pihak.
“Segalanya berbalik kepada undang-undang dan kita perlu mengikut ketetapan yang ada serta menyelesaikannya,” katanya yang tiba di mahkamah kira-kira jam 11.50 pagi.
Pelakon itu hadir ditemani rakan-rakan yang memberi sokongan sejak kemelut rumah tangganya bermula.
Sementara itu, Beego yang hadir kira-kira 10 minit selepas Linda enggan mengulas lanjut dan hanya berharap prosiding berjalan lancar.
Dalam pada itu, kedua-duanya sempat bertegur sapa sebelum memasuki dewan bicara.
Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga pasangan selebriti itu menjadi perhatian ramai apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.
Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023 sebelum mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 serta membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak.
Linda bagaimanapun mendakwa mereka sekali lagi bercerai selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama kemudian.
Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7 tahun.










