KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Arabella Ellen berpandangan perbezaan generasi tidak seharusnya dijadikan isu besar sehingga mencetuskan konflik.
Sebaliknya, kata Arabella, ia boleh diselesaikan secara berhemah dan terbuka.
Arabella atau nama sebenarnya Arabella Ellen Mohd. John Yahya Robert Nelson berkata, setiap individu mempunyai personaliti tersendiri dan berpendapat sikap saling menghormati wajar diamalkan tanpa terlalu mencampuri urusan orang lain.
“Kenapa nak gaduh benda boleh bincang. Tetapi saya rasa semua orang ada personaliti masing-masing. Perbandingan itu perkara biasa dan bukan isu besar.
“Saya lebih memilih untuk fokus kepada hal sendiri dan tidak masuk campur urusan orang lain,” katanya.
Pelakon ini berkata demikian pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 serta pengumuman Duta Paling Mega Jakel yang berlangsung di Jakel Mall, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, aktres drama Generasi Perfect 10 tersebut turut menjelaskan bahawa Generasi Z, iaitu golongan yang lahir sekitar tahun 1997 hingga 2012, masih dalam fasa pembelajaran untuk memahami realiti kehidupan dalam dunia yang semakin mencabar.
“Saya rasa ramai dalam kalangan Gen Z yang mahu bekerja. Dunia ini keras dan apabila mereka tidak memperoleh apa yang diharapkan, perkara itu boleh membuatkan mereka berasa sedih.
“Mereka masih belajar dan mencari arah kehidupan ketika usia semakin meningkat. Ia bukan perkara yang mudah,” ujarnya.
Terdahulu, di platform Threads, Generasi Z sering menjadi topik perbincangan hangat dan dilabel sebagai generasi yang lantang bersuara serta memiliki personaliti dan karakter tersendiri berbanding generasi lain seperti Milenial, Alpha dan Baby Boomers.










