KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Dowanna mengakui memahami cabaran yang dihadapi segelintir pelakon muda yang masih terikat dengan imej kanak-kanak meskipun usia mereka kini sudah dewasa.
Memulakan kerjaya lakonan seawal usia 14 tahun, Bella atau Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, 23, berkata situasi tersebut merupakan antara ujian yang lazim ditempuhi oleh anak seni, termasuk dirinya sendiri.
Menurut Bella, dia pernah melalui fasa sukar dalam industri apabila tidak mendapat tawaran kerja sehingga berasa seolah-olah disisihkan.
“Ada masa saya rasa tidak relevan dan seperti tidak wujud dalam industri. Namun saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing dan ujian yang berbeza,” katanya.
Mengulas mengenai rakan seindustri, Mia Sara Nasuha, Bella berkata dia memahami tekanan yang dihadapi pelakon itu dalam usaha membuang imej pelakon kanak-kanak walaupun kini berusia 21 tahun.
“Saya faham dari pelbagai sudut termasuk perspektif pelakon, produksi, industri dan juga penonton. Ia adalah satu proses dalam perjalanan seorang pelakon,” katanya.
Tambah Bella, perubahan dan perkembangan seseorang pelakon memerlukan masa selain kepercayaan terhadap rezeki sendiri.
“Kita semua sedang membesar dan berkembang. Apa yang penting adalah terus berusaha meningkatkan diri melalui kerja dan kualiti, bukan dengan gosip,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bella turut mendedahkan pernah berdepan layanan kurang menyenangkan di set penggambaran akibat dianggap masih mentah dan kurang berpengalaman.
“Saya pernah dipijak kepala. Disebabkan dianggap masih budak-budak, pendapat saya dipandang remeh dan saya tidak diberi ruang untuk bersuara,” katanya.
Menurutnya, usia bukan penentu kematangan seseorang, sebaliknya rasa hormat perlu menjadi asas dalam setiap hubungan kerja.
“Jika ada rasa hormat, suasana kerja akan lebih profesional. Saya juga berhak mempertahankan diri jika diperlakukan sebaliknya,” jelasnya.
Sebelum ini, Mia Sara Nasuha mencuri perhatian ramai selepas berkongsi secara terbuka mengenai cabaran membina imej baharu sebagai pelakon dewasa selepas sekian lama dikenali menerusi watak kanak-kanak.










