Pernah didera, Nurdamia Ellisda keluar dari hubungan toksik - Utusan Malaysia

Pernah didera, Nurdamia Ellisda keluar dari hubungan toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barangkali, nama Nurdamia Ellisda tidaklah segah artis lain. Tetapi, kini boleh dikatakan, Ellisda sudah mula mencuri perhatian dalam industri hiburan tanah air, sekali gus menyaksikan satu perkembangan yang bagus.

Bagaimanapun, di sebalik wajah lembut dan bakat seni yang kian menyerlah, tersimpan kisah silam penuh luka yang membentuk jati diri penyanyi dan pelakon muda ini hari ini.

Kemunculannya menerusi filem Mak: Salam Dari Syurga, naskhah sulung lakonannya, bukan sekadar menandakan kemasukan Ellisda ke dunia lakonan, malah membuka ruang untuk anak muda ini menyuarakan pengalaman hidup yang pernah dilalui apabila dia dan ibunya pernah bergelut hampir sedekad lamanya untuk keluar daripada sebuah hubungan toksik yang sarat dengan penderaan fizikal dan emosi.

Menurut Ellisda, episod hitam itu bermula ketika dirinya masih kecil dan hanya berakhir selepas dia menamatkan alam persekolahan. Dalam tempoh tersebut, kata Ellisda, dia membesar dalam suasana penuh ketakutan, cemas dan tekanan emosi akibat sikap agresif lelaki yang menjadi tunangan ibunya pada ketika itu.

“Saya membesar dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga. Setiap hari kami hidup seperti berjalan di atas kaca, silap langkah sedikit sahaja keadaan boleh bertukar menjadi ganas. Saya melihat sendiri ibu dipukul di depan mata, dan ada ketika saya pula menjadi sasaran,” katanya.

Ellisda turut mendedahkan bahawa trauma tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan emosi, malah turut menjejaskan kehidupan akademiknya, terutamanya ketika dia hampir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya tidak boleh tidur malam kerana sering dihantui mimpi buruk. Setiap kali pejam mata, saya akan terbayang perkara yang pernah berlaku. Saya hanya mampu tidur selepas subuh, dan akibatnya saya kerap tertidur di dalam kelas. Keadaan itu sangat mengganggu fokus dan emosi saya sebagai pelajar,” jelasnya.

Kongsi Ellisda lagi, keadaan menjadi semakin mencemaskan apabila lelaki berkenaan pernah bertindak mencederakan diri sendiri sebagai ugutan emosi untuk mengekalkan hubungan dengan ibunya.

“Dia sanggup menikam dirinya sendiri semata-mata untuk menakutkan ibu saya supaya tidak meninggalkannya. Ketika itu kami hidup dalam tekanan yang amat berat dan sentiasa bimbang perkara lebih buruk akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, hubungan toksik tersebut berakhir apabila ibunya mengumpul kekuatan untuk keluar demi keselamatan dan masa depan mereka berdua.

“Keputusan ibu untuk meninggalkan lelaki itu adalah titik perubahan terbesar dalam hidup kami. Ibu sedar bahawa jika kami terus berada dalam situasi itu, masa depan saya mungkin akan hancur. Keberanian ibu menyelamatkan kami,” katanya penuh syukur.

Selepas bebas daripada lingkaran penderaan, Ellisda mula menjadikan muzik sebagai medium penyembuhan jiwanya.

Kata Ellisda,dia mula menulis dan menghasilkan lagu sendiri sebagai ruang meluah, selain menyampaikan mesej kesedaran kepada wanita yang masih terperangkap dalam hubungan toksik.

“Saya mahu lagu-lagu saya menjadi suara kepada wanita yang tidak berani bersuara. Saya mahu mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan, dan mereka berhak hidup dalam keadaan aman serta dihormati,” katanya.

Walaupun mengakui masih trauma dan lebih berhati-hati terhadap lelaki, Ellisda enggan membiarkan masa silam menutup ruang masa depannya.

“Saya masih percaya kepada kebahagiaan dan jodoh. Hidup mesti diteruskan, tetapi saya kini lebih menjaga diri. Jika saya rasa ada sesuatu yang tidak kena, saya tidak akan teragak-agak untuk menjauhkan diri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN