PETALING JAYA: Pelakon, Julia Farhana Marin tampil menitipkan pesanan kepada individu yang berhasrat untuk menceburi industri seni agar tidak pernah menawarkan perkhidmatan percuma demi merealisasikan impian mereka.
Kata Julia, meskipun niat seseorang itu sekadar mahu mengumpul portfolio, mereka tetap perlu melalui proses profesional seperti melalui uji bakat dan sebagainya.
“Tolong jangan tawarkan perkhidmatan anda secara percuma. Jangan musnahkan pasaran. Pergi uji bakat, hantar portfolio kepada penerbit, sertai pertandingan televisyen atau langsung, sertai kelas lakonan FINAS.
“Selalunya ada penerbit, pengarah, pemain industri yang anda boleh bina rangkaian dan bina batu loncatan untuk kembangkan kerjaya anda.
“Berkawan dengan pelakon, pempengaruh, bermula sebagai pelakon tambahan dan bina jalan anda ke atas, masuk ke dalam industri.
“Tetapi jangan buat secara percuma. Ini pesanan ikhlas buat semua adik-adik yang mahu masuk industri,” katanya.
Julia berkata demikian ketika membalas perkongsian salah seorang pengguna Threads yang berharap agar impiannya untuk menjadi pelakon dan model tahun ini menjadi kenyataan meskipun tidak dikenakan sebarang bayaran.
“Saya tak kira, tahun ini nak juga jadi pelakon atau model walaupun saya perlu berlakon secara percuma. Saya mahu kumpul portfolio,” kata individu tersebut.










