Pergi kafe untuk makan, tapi duit tak ada - Ajak - Utusan Malaysia

Pergi kafe untuk makan, tapi duit tak ada – Ajak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA anak orang susah, saya tahu bagaimana perasaan kais pagi makan pagi,”

Demikian pengakuan pelawak dan usahawan, Ajak Shiro atau Mohamad Hanaffi bin Razak, 40, ketika bercerita tentang masa kecilnya yang penuh kesusahan. Pengalaman bergelut dengan kewangan lalu membuatkan Ajak bertekad untuk menyisakan sedikit wang daripada rezeki yang diperolehnya untuk membantu mereka dalam kesusahan khususnya rakan-rakan seindustri.

Bagaimanapun, Ajak tidak menyangka niat ikhlasnya membantu rakan artis seperti Tauke Jambu dan Ebby Yus disalah anggap oleh sesetengah pihak menuduhnya sengaja menayangkan kebaikan demi tujuan publisiti perniagaan.

“Ada beberapa orang bercerita juga kepada saya berkenaan itu anggap semuanya sekadar ‘content’. Tapi kalau nak cerita tentang ‘bantu’, saya pernah tolong ramai cuma tak beritahu yang sebenarnya.

“Saya lakukan semua itu kerana pernah hidup susah. Dapat duit makan hari ini, kena fikir macam mana nak cari duit buat makan besok pula.

“Kalau ada yang rasa begitu, saya mohon janganlah pandang apa saya buat tapi usaha saya itu. Dengan harapan lebih ramai yang akan mencontohi dan membantu 100 orang lain lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, kongsi Ajak, jumlah bantuan tidak penting asalkan ikhlas walaupun hanya sebesar RM5. Oleh itu, dia sengaja mewujudkan menu makanan serendah RM5 di restoran miliknya bagi mengurangkan beban pelanggan terutama pekerja pusat beli-belah.

“Sebenarnya itu salah satu niat saya daripada awal juga berniaga. Dulu saya pergi kafe untuk makan, tapi duit tak ada. Saya percaya zaman sekarang masih ada lagi orang yang begitu.

“Kadang ada pelanggan bisik dekat telinga cakap ‘terima kasih buat menu RM5’, saya fikirkan pekerja pusat beli-belah, takkan mereka nak makan RM30 satu hati?.

“Saya juga pesan dekat pekerja, kalau nampak orang beli menu itu, hantar sahaja lauk percuma atas meja dia. Kalau dia mampu, dia tak akan pesan menu harga begitu,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Bila Hati Telah Hitam tersebut mengumumkan bakal menubuhkan yayasan yang dinamakan Yayasan Kasih Babah untuk membantu seramai mungkin insan memerlukan di luar sana. Menurut Ajak, usaha itu sudah berada di fasa akhir dan bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Sebab saya tubuhkan yayasan ini adalah sebelum ini saya menggunakan duit saya sendiri, jadi saya cakap pada isteri saya macam mana kalau keluarga itu perlukan kereta? Macam mana saya nak dapatkan duit untuk bagi kereta.

“Jadi yayasan ini ditubuhkan supaya saya dapat lebih banyak dana untuk bantu orang yang susah.

“Doakanlah saya boleh membantu ramai lagi sebab saya bercita-cita tak nak bagi bantuan ‘one-off’ saja. Saya mahu beri bantuan seperti mana bantuan yang saya berikan kepada abang Ebby Yus.

“Mungkin saya boleh bergabung dengan pemain industri untuk bekerjasama. Kita sama-sama membantu rakan industri,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ajak turut mengucapkan terima kasih kepada rakan industri yang menyokong perniagannya selama ini sekali gus membolehkan dia menyalurkan bantuan kepada orang ramai.

“Rakan-rakan industri pun banyak bagi sokongan kebanyakannya artis veteran seperti Abang Abon, Abang Aris Ariwatan, Abang Mustafa Kamal.

“Sehingga kini Alhamdulillah tiada usaha menjatuhkan perniagaan saya dan kalau boleh jangan ada.

“Kalau ada pihak rasa macam nak tutup pintu rezeki saya, tak payahlah, marii datang sembang kita meniaga sama-sama. Buat apa nak gaduh-gaduh. Duit pun bukan boleh bawa mati pun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN