Percubaan berani guna A.I dalam filem - Syafiq Yusof - Utusan Malaysia

Percubaan berani guna A.I dalam filem – Syafiq Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM Duyung: Legenda Aurora yang dianggarkan menelan kos pembikinan sekitar RM2 juta dihujani kecaman masyarakat.

Meskipun meraih kutipan hampir RM300,000 pada hari pertama ditayangkan, naskhah arahan Datuk Prof. Dr. Abdul Razak Mohaideen dianggap sebilangan besar pengkritik sebagai filem yang gagal.

Rata-ratanya kecewa lebih-lebih lagi apabila teknologi kecerdasan buatan (A.I) digunakan bukan sahaja membabitkan penghasilan poster, tetapi juga beberapa babak salam filem berkenaan.

Isu pengunaan A.I dalam filem ini pernah diajukan kepada penggiat perfileman tempatan. Terbaharu, pengarah berkaliber, Syafiq Yusof berkongsi pandangan selepas sidang akhbar dan pelancaran filem Black Ops: Operasi Serigala baru-baru ini.

Berikut kami coretkan sisi pandang Syafiq mengenai penggunaan A.I dan impaknya kepada masa depan perfileman negara.

Apa pandangan Syafiq mengenai penggunaan A.I terhadap sejumlah besar babak dalam filem Duyung: Legenda Aurora?

Saya belum menonton filem itu. Tapi saya boleh klasifikasikannya sebagai percubaan yang berani. Bagi saya ia usaha yang bagus walaupun ramai yang mengecam. Sekurang-kurangnya, kita sudah ada filem yang menggunakan A.I.

Akan timbul persoalan kalau kita belum menggunakan A.I dalam filem sedangkan kita sudah mula gunakan teknologi itu untuk banyak perkara.

Adakah wajar filem tersebut dikecam kerana menggunakan A.I?

Dulu, ramai yang menolak ketika imej janaan komputer (CGI) diperkenalkan kerana dianggap tidak realistik.Tapi sekarang ini, banyak filem yang gunakan CGI.

Pada saya, isu A.I ini pun sama. Ia sebuah teknologi baharu, belum sesuai digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan sebuah filem. Untuk membantu dalam penghasilan kesan khas tidak menjadi masalah.

Tapi adakah Syafiq juga akan mula menggunakannya dalam filem?

Buat masa sekarang, belum. Bagi saya kita masih belum sedia ke arah itu. Saya masih berpegang kepada syot yang realistik.

Tapi saya tidaklah menentang penggunaannya dalam filem. Cuma saya setuju yang kita kena menggunakan A.I secara berhemah dan bertanggungjawab.

Apa langkah yang boleh diambil sekarang agar penggunaan A.I dimanfaatkan sebaiknya dalam penghasilan filem?

Kita sudah boleh bereksperimentasi dan memulakan banyak kajian mengenainya. Umum perlu tahu bahawa perincian kesan khas sekarang sudah dilengkapi teknologi A.I.
Tidak sepenuhnya, kebarangkalian dalam 20 hingga 30 peratus.

Bagaimana Syafiq melihat masa depan teknologi ini dalam dunia perfileman?

Kita boleh ramalkan yang A.I ini satu masa nanti membolehkan pembikin menghasilkan filem walaupun tak mempunyai dana yang besar.

Dan kebarangkalian dalam tempoh 4 hingga 5 tahun nanti filem yang menggunakan A.I akan bertambah kerana penggemarnya meningkat.

Sekarang ini pun kita sudah hasilkan banyak perkara, antaranya muzik dan penulisan dengan A.I

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN