PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Rizal Rasid menaruh harapan besar agar kelab peminat kumpulan Alpha, Alphanite, terus bersatu dan kekal menyokong perjalanan seni kumpulan itu dalam jangka masa panjang.
Mengulas desas-desus mengenai pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan ahli kelab peminat berkenaan, Rizal atau nama penuhnya Muhammad Rizal Azhiman Rasid, 30, mengakui ada mendengar mengenai perkara tersebut namun tidak mengetahui secara terperinci.
Menurutnya, kesibukan jadual penggambaran kebelakangan ini menyebabkan dia dan ahli kumpulan Alpha kurang mengikuti perkembangan isu berkenaan.
“Sebenarnya saya ada dengar mengenai perkara itu, tetapi tidak secara terperinci. Kebelakangan ini kami memang sibuk dengan penggambaran.
“Apa yang saya harapkan adalah agar tiada lagi pertelingkahan berlaku dalam kalangan Alphanite kerana bagi saya, mereka adalah nyawa Alpha. Merekalah semangat dan sumber inspirasi kami untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Rizal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Lebaran jenama pakaian tempatan Petra, yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rizal menegaskan misi kumpulan Alpha adalah untuk memberi layanan terbaik kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang.
“Apa sahaja yang kita lakukan perlu bersatu hati. Untuk menjayakan sesuatu, perkara itu sangat penting.
“Misi kami sebagai Alpha adalah untuk memberikan layanan yang baik kepada semua. Apa sahaja pandangan atau kritikan, kami terima dan layan dengan cara yang sama,” ujarnya.
Mengulas mengenai sikap peminat, Rizal melahirkan rasa syukur kerana setakat ini sokongan yang diberikan tidak pernah melampaui batas sehingga mengganggu privasi atau emosinya.
“Setiap orang ada perangai masing-masing dan itu sesuatu yang kami tidak boleh kawal. Kita juga tidak berhak untuk mengubah seseorang.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada yang terlalu obses. Kalau sekadar peminat fanatik, itu memang kami hadapi setiap hari dan ia tidak mengganggu privasi atau emosi saya,” jelasnya.
Tambah Rizal, sokongan luar biasa yang diterima daripada peminat membuatkan dia dan ahli kumpulan Alpha berasa terharu, lebih-lebih lagi perkembangan kerjaya mereka berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Saya rasa terharu kerana semua ini berlaku dengan sangat cepat. Bagi saya yang sudah lama dalam industri, saya anggap ia sebagai satu langkah baharu.
“Namun bagi adik-adik saya dalam kumpulan Alpha, mungkin mereka belum pernah merasai situasi seperti ini. Perkara-perkara inilah yang perlu kami sesuaikan diri,” katanya.










