KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal, Elly Mazlein, membuktikan keteguhan prinsip apabila menolak tawaran kerja bernilai sehingga RM500,000 yang mensyaratkan dia membuka tudung.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, keputusan untuk berhijab bukanlah satu perkara yang boleh dikompromi walaupun ditawarkan bayaran lumayan.
Menurutnya, tawaran tersebut diterima tidak lama selepas dia mula tampil berhijab dan ia melibatkan promosi sebuah produk.
“Saya pernah menerima satu tawaran yang sangat lumayan, mencecah setengah juta ringgit. Namun syaratnya saya perlu membuka tudung.
“Sejak saya membuat keputusan untuk berhijab, saya sudah tetapkan dalam diri bahawa prinsip ini tidak akan dikorbankan walau berapa besar bayaran yang ditawarkan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada acara Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Tambah Elly, pihak berkenaan sememangnya mengetahui statusnya sebagai wanita berhijab, namun tetap mengemukakan tawaran tersebut.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Janji Kekasih itu memilih untuk menolak peluang berkenaan secara berhemah bagi mengelakkan sebarang salah faham.
“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka tawarkan bayaran yang tinggi.
“Tetapi saya maklumkan dengan baik bahawa saya tidak dapat bekerjasama sekiranya perlu membuka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya menjadi duta, prinsip saya tetap sama iaitu kekal berhijab. Saya yakin rezeki saya ada di tempat lain,” ujarnya.
Elly turut menegaskan kepentingan menjaga adab dan tutur kata ketika menolak sesuatu tawaran.
“Walau macam mana pun kita nak menolak, kita kena jawab dengan baik. Alhamdulillah, mereka dapat menerima keputusan saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Elly berharap agar syarikat atau jenama tidak memandang rendah keupayaan wanita berhijab sebagai duta produk.
“Tak salah memilih duta yang bertudung. Rezeki saya mungkin bukan di situ, tetapi Allah gantikan dengan rezeki lain.
“Yang paling penting, saya kekal dengan prinsip untuk terus berhijab,” katanya.










