KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memandang serius isu gangguan seksual termasuk perlakuan berunsur pedofilia yang didakwa melibatkan segelintir penggiat industri perfileman terhadap pelakon kanak-kanak.
Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah berkata, pihaknya memandang berat pendedahan seorang pelakon yang mendakwa pernah diliwat oleh seorang pengarah ketika masih aktif sebagai pelakon kanak-kanak dan menggesa individu terlibat tampil membuat laporan rasmi.
Menurut Hafiz, SENIMAN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi menangani aduan membabitkan salah laku dalam kalangan penggiat seni.
“Individu berkenaan perlu tampil membuat laporan bertulis kepada SENIMAN. Laporan itu penting sebagai benteng dan pertahanan kerana kita tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bukti yang kukuh.
“Kita juga perlu berhati-hati supaya tidak membuat tuduhan tanpa asas. Justeru, individu terlibat disaran datang berjumpa atau sekurang-kurangnya menghubungi pihak SENIMAN untuk membincangkan perkara ini secara formal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem arahannya, Mak #Salamdarisyurga di TGV 1 Utama, di sini, malam tadi.
Hafiz berkata, bukti seperti perbualan mesej, gambar atau bahan sokongan lain boleh membantu menguatkan lagi dakwaan sekiranya laporan rasmi dibuat.
“Mungkin terdapat bukti seperti perbualan WhatsApp, gambar atau kejadian yang berlaku di lokasi tertentu. Semua ini hanya dapat dinilai selepas laporan rasmi dikemukakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hafiz yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri tidak menafikan bahawa kes seumpama itu pernah berlaku sejak dahulu dan masih berterusan sehingga hari ini.
“Perkara ini memang wujud. Pada zaman saya mula meningkat naik dahulu, kes seperti ini berlaku tetapi tidak viral kerana belum ada media sosial. Ada yang bercakap secara terang-terangan, malah bukan sahaja melibatkan lelaki dengan lelaki, tetapi juga lelaki dengan perempuan.
“Saya sendiri pernah melalui situasi sebegini sepanjang lebih 25 tahun dalam industri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua penggiat seni supaya sentiasa berwaspada kerana terdapat hukuman berat menanti mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak.
“Saya tidak akan berkompromi. Jika ada artis atau bakat muda menjadi mangsa, saya akan mempertahankan mereka. Perbuatan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak adalah menjijikkan dan perlu dihentikan,” katanya.
Terdahulu, seorang pelakon tampil membuat pendedahan mendakwa pernah diliwat oleh seorang pengarah yang mempunyai hubungan persaudaraan dengannya ketika masih kanak-kanak.
Pelakon yang pernah membintangi drama Diari Ramadhan Rafique itu turut mendakwa memilih untuk berdiam diri selama ini demi menjaga hubungan kekeluargaan.










