Siapa sangka, di sebalik dunia glamor dan sorotan kamera, industri seni rupa-rupanya menyimpan sisi gelap yang jarang diperkatakan. Contohnya, isu berkaitan pedofilia.
Hal ini juga disuarakan oleh pelakon dan selebriti popular, Scha Alyahya yang mengakui bimbang mengenai kewujudan individu berunsur pedofilia dalam industri hiburan, terutama melibatkan pelakon kanak-kanak dan bakat baharu yang masih mentah.
Menurut Scha, isu tersebut bukan sekadar khabar angin, sebaliknya satu realiti yang benar-benar wujud walaupun jarang dibincangkan secara terbuka.
“Itu realiti dalam industri. Memang ada orang seperti ini,” katanya tegas.
Scha menjelaskan, individu berkenaan lazimnya menggunakan kedudukan, kejayaan dan pengaruh mereka untuk mendekati mangsa, khususnya pelakon muda dan kanak-kanak yang baru menapak dalam industri.
“Kalau ada pelakon-pelakon baru masuk, terutama kanak-kanak, mereka ini jadi sasaran mudah. Mereka guna kejayaan untuk mendekatkan diri. Lebih membimbangkan apabila watak sebenar individu tersebut sering tidak disangka-sangka.
“Kita tak sangka wataknya, tapi dia boleh jadi seorang pedofilia,”ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas kes-kes yang mula terbongkar kebelakangan ini, Scha percaya perbuatan tersebut mungkin telah lama berlaku, namun hanya kini terbuka kepada pengetahuan umum.
“Sepandai-pandai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Mungkin dah lama buat, cuma sekarang baru orang buka cerita,” katanya.
Walaupun mengakui sepanjang penglibatannya dalam industri sebelum ini tidak pernah mendengar isu pedofilia secara terbuka, Scha menegaskan itu tidak bermakna ia tidak berlaku.
Sehubungan itu, Scha menekankan tanggungjawab besar ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak yang terlibat dalam industri seni, memandangkan mereka masih bawah umur dan mudah terdedah kepada risiko.
“Paling penting ibu bapa kena tahu dengan siapa anak mereka berurusan. Kena pantau sepanjang masa.Langkah berjaga-jaga itu sekarang saya tengok semakin dipraktikkan di set penggambaran dan ia terutama apabila ibu bapa sentiasa menemani anak-anak mereka.
“Sekarang ini kalau ada pelakon muda di set, mak dia ada dengan dia sepanjang masa.Tukar baju pun mak ada dalam bilik. Itu penting sebab kita tak tahu siapa individu yang kita bimbang sebagai pedofilia itu,” ujarnya.
Promo babak sensual
Dalam pada itu, Scha turut menyentuh isu kandungan promosi drama yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan warganet.
Menurut Scha, persoalan mengenai penggunaan babak-babak tertentu sebagai bahan promosi sering kali berada di luar kawalan pelakon.
Jelasnya, ada kalanya adegan yang dipetik untuk tujuan promosi bukanlah sesuatu yang dirancang khusus dalam skrip asal, sebaliknya diambil daripada babak drama yang telah pun diluluskan.
“Kadang-kadang babak itu memang wujud dalam drama, cuma ia ditekankan apabila dijadikan promo. Snippet itulah yang dijual untuk tarik perhatian penonton,” katanya.
Mengakui isu tersebut agak sensitif untuk dibicarakan, Scha tidak menafikan pernah berada dalam situasi yang membuatkan dirinya berasa pelik pada suatu ketika dahulu.
“Saya pun dah pernah berada dalam situasi aneh-aneh sebelum ini. Jadi bagi saya, mungkin perkara itu memang di luar kawalan pelakon. Ia sebahagian daripada promosi.
“Saya pernah tanya, kenapa keluarkan babak macam itu? Tapi akhirnya sedar, saya sendiri yang berlakon dalam babak itu. Ia sebahagian daripada promo. Nak buat macam mana,” katanya.
Tambah Scha, sensitiviti masyarakat dalam menilai dan menonton adegan-adegan yang dianggap tidak sesuai perlu dilihat secara lebih menyeluruh, apatah lagi industri kini tertakluk kepada undang-undang yang semakin ketat.
“Dulu mungkin ada kebebasan, tapi sekarang sudah ada had. Kalau buat pun sekadar untuk menarik perhatian penonton sahaja.
“Kena tengok gambaran lebih besar. Bukan promo itu isu utama, tetapi kenapa babak-babak itu ada,” katanya.










